AIM24 Perkenalkan Tiga Kategori Baharu, 11 Pemenang Kategori Bakal Bawa Pulang Hadiah Berjumlah RM700,000
Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dengan bangganya mengumumkan penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) — acara anugerah muzik paling berprestij dan lama bertapak di negara ini yang telah mengangkat martabat seni muzik tempatan sejak 1993.
Pengerusi RIM dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata, acara berkenaan akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025, pukul 9 malam, dan akan disiarkan secara langsung oleh RTM, penyiar rasmi AIM24.
“Selepas tiga tahun tidak dianjurkan, AIM24 kembali dengan tiga kategori baharu selaras dengan kepelbagaian dan kekayaan landskap muzik Malaysia. AIM24 meneruskan usaha kami dalam memberi pengiktirafan kepada karya-karya cemerlang oleh para penggiat muzik.
“Penambahan kategori seperti ‘Lagu Perpaduan Terbaik’ dan ‘Lagu Tradisional Terbaik’ mengangkat warisan budaya pelbagai kaum Malaysia. Manakala kategori ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik’ meraikan kejayaan artis kita yang mencipta nama di peringkat antarabangsa,” , .
Ujarnya, Lagu Perpaduan Terbaik mengiktiraf karya muzik yang memupuk nilai perpaduan, inklusiviti dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan bahasa.
Jelasnya lagi, Lagu Tradisional Terbaik pula menghargai ciptaan yang berakar umbi daripada warisan muzik tradisional Malaysia, sekaligus melestarikan identiti dan budaya tempatan.
“Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik akan menonjolkan kolaborasi rentas negara yang menampilkan artis Malaysia bersama rakan kolaborasi antarabangsa dalam mengembangkan bakat ke peringkat global,” ujarnya.
Rosmin berkata, penambahan ini mencerminkan komitmen AIM dalam menjunjung prinsip kepelbagaian, warisan budaya, keterangkuman, dan pengiktirafan antarabangsa untuk industri muzik Malaysia.
Dalam pada itu, Rosmin memaklumkan sebagai dorongan besar kepada industri, Kementerian Komunikasi Malaysia akan memperuntukkan RM700,000 kepada sebelas (11) pemenang kategori AIM24, di mana ia adalah lebih dua kali ganda berbanding RM320,000 yang diberikan kepada empat pemenang pada AIM23.
Jelasnya, Dana berkenaan merupakan sebahagian daripada program Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah MyCreative Ventures (MyCV) untuk menyokong penerbitan, promosi dan pengedaran kandungan kreatif yang bernilai tinggi dari segi komersial dan seni.
“Dana akan disalurkan melalui syarikat rakaman pemenang bagi memaksimumkan impak ekonomi dalam ekosistem industri muzik. Kami juga amat berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures atas perluasan sokongan melalui dana DKK kepada pemenang AIM24.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyuburkan bakat tempatan, malah memperkasakan kandungan digital Malaysia untuk pasaran tempatan dan global. Kami juga amat teruja dengan kerjasama pertama kami bersama RTM sebagai penyiar rasmi acara anugerah muzik utama negara ini,” tambah beliau.
Pencalonan AIM24 dibuka kepada lagu/album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang diterbitkan di Malaysia antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.
Penyerahan pencalonan AIM24 oleh ahli RIM akan dibuka pada hari Rabu, 4 Jun 2025 dan akan ditutup pada hari Jumaat, 4 Julai 2025 pukul 5.00 petang. Borang pencalonan yang berkaitan boleh diisi dan diserahkan di atas tailian aim1.org.my/online-submission-2025/ – KopiPlanet.com
The post AIM24 Perkenalkan Tiga Kategori Baharu, 11 Pemenang Kategori Bakal Bawa Pulang Hadiah Berjumlah RM700,000 appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: