Yassin Senario Tampil Buat Pendedahan, Nafi Dirinya Ditahan Di Arab Saudi Berpunca Kes Dadah
Kehilangan pelawak popular, Yasin Senario selama tujuh bulan ketika berada di Arab Saudi sehingga menjadi tanda tanya peminat akhirnya terjawab.
Dalam satu video Darkcast, Episod Khas – Yassin Yahya, bersama Saiful Apek yang disiarkan dalam YouTube Gitu Gitu Studio, dia menjelaskan bahawa penahanan dirinya bukan berpunca penyalahgunaan dadah.
“Saya menaiki penerbangan lapan jam perjalanan ke Jeddah. Sebelum berlepas saya fikir bagaimana saya nak merokok. Jadi saya beli rokok kertas, ‘grinder’ (pengisar) dan beli sekotak rokok di lapangan terbang.
“Kemudian apabila tiba di Jeddah, beg saya diimbas ketika penerbangan ke Madinah. Pihak kastam nampak sesuatu dan arahkan beg saya dibuka. Dia pegang benda agak menggerunkan, saya nampak dia pegang ‘grinder’ yang ada lambang barang terlarang. Mereka terus selongkar beg. Bagi mereka, ia adalah barang mencurigakan,” jelasnya.
Menerusi video itu lagi, Yassin memberitahu, dia telah dibawa ke sebuah bilik, manakala badan dan begnya diselongkar lagi.
“Saya pun tidak tahu apa yang mereka buat. Saya tanya apa yang mereka buat, saya jelaskan ini rokok. Jika mencurigakan, boleh buat ujian air kencing.
“Pada masa sama, saya minta mutawif tinggalkan saya kerana mereka mahu kejar penerbangan seterusnya ke Madinah,” ujarnya.
Cerita Yassin lagi, dia telah dibawa ke pejabat polis untuk ambil keterangan namun tidak dilepaskan, malah selepas disoal siasat, dia menyangka akan dihantar kembali kepada kumpulan jemaah.
“Mungkin saya boleh lepas, namun pihak polis suruh ikut ke kenderaan polis dan menggari tangan. Saya dibawa ke balai polis di Jeddah pula.
“Saya tertanya-tanya apa kesalahan saya. Kalau difikirkan, takkan soal lambang jadi satu kesalahan. Kalau salah, saya sudah ditahan di Malaysia. Saya memang tak tahu mengenai undang-undang di sana,” ujarnya.
Jelas Yassin, sebaik tiba di balai polis, dia tiada peluang memberikan penjelasan atau menghubungi sesiapa, serta mengalami masalah komunikasi.
“Dalam perjalanan, saya contact ALLAH sahaja, Ya ALLAH permudahkanlah dan hanya berserah dan memohon doa serta tak putus berzikir.
“Sampai di balai, beg dan barang-barang termasuk telefon bimbit diambil, saya dimasukkan ke lokap khas untuk dadah,” dedahnya sambil menyatakan tidak berhubung dengan sesiapapun termasuk agensi yang membawanya selama lapan hari.
Ujar pelawak itu lagi, situasi lokap berkenaan agak padat dan dia pertama kali tidur dalam keadaan berdiri kerana lantai penuh.
Jelasnya, sepanjang tempoh berkenaan Yassin mendapat bantuan daripada pihak konsulat dan menjelaskan alat berkenaan digunakan untuk merokok sepanjang 12 hari mengerjakan umrah.
“Saya dijatuhkan hukuman selama enam bulan,” kata Yassin akur menerima keputusan tersebut susulan logo pada grinder.
Pada masa sama, dia turut berterima kasih kepada mereka yang mengambil berat tentang dirinya sepanjang ‘kehilangannya’ sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.
“Saya maafkan dan tidak salahkan mereka kerana risaukan saya sehingga fikir yang bukan-bukan.
“Sebelum tidur, don’t worry saya tetap memaafkan anda,” kata Yassin kepada pihak yang membuat spekulasi sehingga menjadi fitnah,” ujarnya. – KopiPlanet.com
The post Yassin Senario Tampil Buat Pendedahan, Nafi Dirinya Ditahan Di Arab Saudi Berpunca Kes Dadah appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: