Ads Top

DOLLA Tampil Dengan Single MWA!, Sentuhan Rentak Eksperimental & Inspirasi Brazilian Funk

Kumpulan gadis sensasi Malaysia, DOLLA, kembali menggegarkan industri muzik dengan single terbaharu mereka, “MWA!”, selepas hampir setahun menyepi.

Dengan sentuhan rentak eksperimental dan inspirasi Brazilian funk, MWA! kini mencuri perhatian peminat dari seluruh dunia.

Menurut DOLLA, idea lagu ini hadir sebagai kesinambungan kepada DAMELO — tetapi kali ini dengan unsur lebih segar dan Latin.

“Kami peminat tegar muzik Brazil dan sangat mengagumi Anitta. Dari situ, tercetus idea untuk hasilkan lagu berinspirasikan Brazilian funk yang boleh membawa sesuatu yang baharu ke pasaran muzik Malaysia,” kongsi mereka.

Usaha mereka jelas membuahkan hasil. Sejak dilancarkan, MWA! telah meraih beberapa pencapaian penting, termasuk membuat kemunculan sulung di tangga ke-6 dalam Carta RIM Malaysia dan meraih 1 juta tontonan di YouTube dalam masa beberapa minggu sahaja.

Lagu ini juga mendapat sambutan hangat di media sosial, dengan peminat dan pencipta tarian dari Brazil, Thailand dan Amerika Syarikat turut serta dalam trend tarian MWA! yang kini tular.

Lebih menarik, video muzik MWA! turut dipaparkan secara eksklusif menerusi papan iklan LED gergasi di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Kumpulan ini juga telah mengadakan acara peminat seperti MWA! Heist di Bukit Bintang, dengan satu lagi acara bakal berlangsung di IOI City Mall.

“Kami sangat gembira melihat sambutan yang hangat dari seluruh dunia, dan berharap dapat terus mengembangkan DOLLA dan MWA! di peringkat antarabangsa serta membawa nama M-pop lebih jauh,” ujar mereka.

Malah, sambutan yang diterima daripada peminat Brazil turut mengejutkan mereka. “Kami terharu dengan komen positif yang kami terima. Rakyat Brazil sangat baik dan menyokong. Sebagai peminat muzik Brazil, kami amat menghargai sambutan hangat ini.”

Dengan gerakan tarian MWA! yang menjadi ikutan ramai penari dan pencipta kandungan di seluruh dunia, DOLLA terus membuktikan bahawa muzik Malaysia mampu melangkaui sempadan.

“Kami amat menghargai semua sokongan dan sangat teruja melihat ramai yang menyahut cabaran tarian MWA!. Teruskan sokongan anda!” – KopiPlanet.com

The post DOLLA Tampil Dengan Single MWA!, Sentuhan Rentak Eksperimental & Inspirasi Brazilian Funk appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.