Ads Top

Jadi Wakil Malaysia Di Pentas Sing! Asia, Amsyar Leee Teruja Bersaing Di Peringkat Antarabangsa

Bersaing dengan peserta yang sudah berpengalaman dan datang dari pelbagai latar belakang merupakan antara pengalaman yang ditimba penyanyi, Amsyar Leee yang menyertai pertandingan Sing! Asia ketika ini.

Dia yang mewakili Malaysia perlu bertanding dengan puluhan peserta yang datang dari China, Jepun, Vietnam, Singapura dan Thailand dan beberapa negara lain. Menariknya mereka diberikan cabaran dengan beberapa format pertandingan yang berbeza setiap minggu selain menyanyikan lagu berbahasa Mandarin.

“Saya gembira menerima maklum balas peminat yang pertama kali menonton episod pertama Sing! Asia minggu lalu. Ada banyak cabaran yang dilalui dan dalam masa yang sama membentuk banyak pengalaman baharu.

“Saya anggap ini merupakan permulaan yang baik buat kerjaya seni pada tahun ini walaupun terpaksa bersiang dengan peserta dari negara lain,” kata Amsyar.

Sing! Asia merupakan salah satu pertandingan baharu yang siarkan di platform penstriman IQIYI, yang mengumpulkan penyanyi berpengalaman untuk merebut kejuaraan.

Jelasnya, sejak ditawarkan menjadi salah seorang peserta yang mewakili Malaysia, Amsyar teruja dan dalam masa yang sama mahu mencabar diri untuk berada di pentas antarabngsa.

Dia tidak mahu mensia-siakan peluang untuk menunjukkan kebolehan diri dan menempa nama yang lebih besar di peringkat antarabangsa.

Meskipun rancangan ini baru sahaja ditayangkan, namun Amsyar sudah melakukan rakaman awal sejak Februari lalu di beberapa negara yang terlibat.

“Cabaran paling besar bagi saya adalah kena nyanyi lagu dalam bahasa Mandarin. Itu bukan bahasa yang saya kuasai, jadi dari segi sebutan, emosi dan penyampaian, semua itu perlukan usaha yang lebih.

“Tambah pula lagu-lagu yang saya bawa semuanya berat dan penuh emosi. Tapi sebenarnya, cabaran sebenar bukan berlawan dengan peserta lain. Cabaran sebenar saya adalah diri sendiri.

“Saya ada stage fright dan anxiety, rasa takut yang datang bila berdiri atas pentas depan ramai orang. Tapi saya cuba lawan semua tu sebab saya tahu, setiap langkah ke depan adalah satu kemenangan kecil buat diri saya,” tambahnya lagi.

Menariknya, dia menerima respons yang sangat baik daripada peminat yang sudah menonton episod pertama Sing! Asia yang ditayangkan bermula 23 Mei lalu.

Di sebalik itu, penyanyi yang popular dengan lagu Belai ini mendedahkan yang dia terpaksa menghadapi cabaran baharu apabila sesi rakaman berlangsung di negara tersebut.

Paling tidak dapat dilupakan apabila dia kedinginan ketika berada di China memandangkan cuaca terlampau sejuk sehingga memberikan masalah kepada peti suara.

“Berada di China memang memberikan cabaran besar buat saya. Sepanjang di sana tekak tak selesa dan sangat memberikan kesan kepada suara.

“Mahu mencari makanan halal pun agak mencabar. Saya perlu berjaga-jaga dan pastikan makan benda yang betul supaya badan kekal sihat sepanjang tempoh di sana,” katanya yang turut menjalani penggambaran di China, Jepun, Hong Kong dan beberapa lokasi yang dirahsiakan.

Dalam pada itu, Amsyar mendedahkan yang dia teruja dapat bekerjasama dengan produksi luar negara yang banyak memberikan ilmu baharu terutamanya dari segi teknik vokal.

Semua itu banyak membantu memantapkan persembahan penyanyi berkenaan memandangkan dia berpeluang bekerjasama dengan produksi besar yang cukup teliti mengendalikan segala hal.

“Saya harap sangat dapat melangkah ke final dan buat yang terbaik dan membanggakan negara. Saya mahu buka mata ramai orang bahawa suara ini merupakan suara anak Malaysia yang ada kekuatan jiwa yang boleh menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya.

“Walaupun saya terima kecaman hebat dari segelintir rakyat Malaysia yang kurang selasa dengan cara saya membawakan lagu, saya percaya setiap suara ada tempatnya.Perjalanan saya masih jauh tapi selagi ada sokongan, doa dan keberanian untuk terus berdiri, saya akan terus melangkah,” jelasnya lagi.

The post Jadi Wakil Malaysia Di Pentas Sing! Asia, Amsyar Leee Teruja Bersaing Di Peringkat Antarabangsa appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.