Ads Top

Bermula Sebagai Pemandu Grab, Irsyad Kini Bergelar Penyampai Radio Suria FM

Bagi sesetengah orang, menjadi penyampai radio mungkin satu pilihan kerjaya. Namun, bagi Irsyad Tarudin, ia adalah sebuah perjalanan yang penuh liku, namun berkat kesabaran akhirnya menjadi sebuah pencapaian yang sangat bermakna.

Irsyad, anak jati Kedah yang kini berusia 26 tahun, bukan sahaja seorang penyampai baharu di Suria FMtetapi juga seorang pelajar Sarjana Sains (Master) dalam bidang Akuakultur di Universiti Putra Malaysia. 

Sebelum menyertai Suria FM, beliau menjana pendapatan harian melalui kerja e-hailing, di samping menghadiri kelas dan makmal sebagai pelajar sarjana. Setiap pagi ke universiti, malam pula ke jalan raya, itulah rutin beliau sebelum akhirnya impian beliau terlaksana.

“Menjadi penyampai radio adalah impian saya sejak kecil. Setiap hari semasa berulang-alik dari sekolah di Kulim ke rumah di Sungai Petani, saya akan dengar radio dalam kereta bersama keluarga. 

“Dari situlah minat saya bermula. Saya tertarik dengan cara penyampai berinteraksi dengan pendengar. Alhamdulillah, hari ini impian itu menjadi kenyataan,” kata Irsyad.

Pemuda itu memilih untuk menyertai Suria FM kerana melihat stesen ini sebagai stesen radio yang paling dekat di hati masyarakat. 

“Ke mana saja saya pergi , gerai makan, stesen minyak, dalam kereta e-hailing atau di dalam bas, saya dapati kebanyakan mendengarkan Suria FM. Keistimewaan Suria FM di mata saya, radio ini sangat aktif dan agresif dalam menganjurkan aktiviti – aktiviti luar untuk lebih dekat dengan pendengar. 

“Kandungan segmen di Suria FM juga lebih bersifat interaktif serta variasi dan menawarkan nilai kepada pendengar. Sebagai seseorang yang suka berbual dan mendengar cerita orang, saya rasa inilah tempat paling tepat buat saya,” tambahnya. 

Baginya, Kafe Suria adalah ruang untuk bersembang, mendengar dan membina hubungan rapat dengan pendengar, sambil disulami dengan lagu-lagu yang sesuai dengan trend semasa.

Kini, Irsyad akhirnya diberi peluang untuk membina kerjaya dalam bidang penyiaran, menerusi segmen malam baharu Suria FM, iaitu Kafe Suria

Bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 malam hingga 12 tengah malam, Irsyad tampil dengan gaya penyampaian santai, jujur dan reflektif, mencerminkan suara generasi muda hari ini dengan membawa pendengar mengikuti trend semasa, kupasan drama dan filem terbaru, sembang topik dan juga ucapan serta permintaan lagu. 

Dengan gabungan ilmu, pengalaman dan pendekatan kontemporari, Irsyad bersedia membawa Kafe Suria menjadi wajah baharu malam Suria FM yang lebih segar, dekat di hati dan penuh nilai. 

Suria FM percaya perubahan ini bakal memberi impak positif berpanjangan dari segi peningkatan jumlah pendengar khasnya dalam menarik golongan muda untuk mendengar suria FM.

Dengarkan Kafe Suria bersama Irsyad di Suria FM bermula Isnin ini, 19 Mei 2025 bermula 8.00malam hingga 11.00 malam. – KopiPlanet.com

The post Bermula Sebagai Pemandu Grab, Irsyad Kini Bergelar Penyampai Radio Suria FM appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.