Ads Top

Filem Gayong Dapat Perhatian Antarabangsa, Bakal Tayang Di 33 Buah Negara Amerika Latin

Ketika masih lagi hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara, filem Gayong terbitan SOL Pictures kini bakal menembusi pasaran antarabangsa apabila akan ditayangkan di 33 buah negara Amerika Latin.

Penerbitnya, Eric Ong berkata, ia bermula apabila wakil pemasaran antarabangsa syarikatnya yang berada di Festival Filem Cannes baru-baru ini bertemu dengan pihak yang menunjukkan minat dengan filem berkenaan.

“Wakil pemasaran kami iaitu Movie Move berjaya mendapatkan pembeli dari Amerika Latin, di mana mereka sangat berminat dengan filem yang berunsur seni mempertahankan diri Asia termasuk silat.

“Mereka ternyata tertarik dengan filem Gayong ini dan menganggap ia sebuah naskhah yang menarik dan mutu penerbitannya yang begitu baik,” ujarnya.

Gayong merupakan sebuah filem yang diinspirasikan daripada kisah mahaguru dan pengasas silat Gayong iaitu Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman.

Filem arahan Faisal Ishak itu turut dibintangi barisan pelakon popular seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip serta pelakon kelahiran Indonesia iaitu Yayan Ruhian.

Dalam pada itu, Eric memberitahu pihak masih menunggu kontrak perjanjian antara kedua-dua pihak yang kini masih dalam proses untuk disiapkan.

Ujarnya lagi, dalam perjanjian yang buat, tayangan filem Gayong hanyalah untuk platform penstriman (OTT) sahaja dan tidak melibatkan tayangan di pawagam.

“Apa yang dimaklumkan kepada saya, ia adalah untuk tayangan OTT. Cuma masih belum ada kata putus mengenai tarikh tayangan.

“Apapun saya tetap berbangga apabila Gayong dapat menembusi pasaran Amerika Latin dan ia membuktikan filem tempatan serta seni bela silat juga mempunyai nilai tersendiri dan dikagumi di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Filem Gayong sudah pun ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei sejak 8 Mei lalu, manakala tayangan di Singapura adalah pada 22 Mei ini. – KopiPlanet.com

The post Filem Gayong Dapat Perhatian Antarabangsa, Bakal Tayang Di 33 Buah Negara Amerika Latin appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.