Ads Top

Petaka Gunung Gede Angkat Kisah Benar Kejadian Seram Ketika Mendaki Gunung

Ketika ini, filem-filem seram Indonesia selalunya mengangkat kisah-kisah yang diinspirasikan daripada kejadian sebenar yang pernah dialami.

Yang terbaru, filem Petaka Gunung Gede mengenai kisah benar sekumpulan anak muda yang berhadapan dengan kejadian seram ketika mendaki Gunung Gede pada tahun 2007.

Diarahkan oleh Azhar Kinoi Lubis, ia mengisahkan Maya (lakonan Arla Ailani) dan Ita (Adzana Ashel), dua orang sahabat yang memutuskan untuk mendaki Gunung Gede bersama rakan-rakan Indra, abang Maya.

Pada peringkat awal, perjalanan ini bertujuan untuk menikmati keindahan alam Gunung Gede, namun berubah menjadi petaka ketika serangkaian kejadian aneh mulai mengganggu mereka.

Semasa melakukan pendakian, Ita mula mengalami gangguan mistik seperti merasa resah gelisah, mendengar suara-suara aneh, malah dirasuk beberapa kali.

Sesuatu yang menarik tentang filem ini apabila ia menampilkan kelainan dengan mengetengahkan mitos dan kepercayaan orang ramai tentang gunung, menyentuh masalah antara penjelasan saintifik dan kepercayaan terhadap mitos.

Selain itu, terdapat lapisan falsafah tentang bagaimana manusia berhubung dengan alam yang mengingatkan kita bahawa meskipun kita hidup dalam era moden, masih ada kekuatan alam yang harus dihormati.

Kepada mereka yang meminati filem-filem seram, filem Petaka Gunung Gede adalah antara naskhah filem yang sememangnya wajar untuk ditonton.

Sudah ditayangkan di Indonesia pada 6 Februari lalu, filem ini akan mula ditayangkan di pawagam di Malaysia mulai 27 Mac 2025. – KopiPlanet.com

The post Petaka Gunung Gede Angkat Kisah Benar Kejadian Seram Ketika Mendaki Gunung appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.