Isaac Voo Hasilkan Lagu Raya Bounce, Gabungkan Suasana Raya Tradisional Dengan Rentak K-Pop
Idola K-Pop Malaysia, Isaac Voo, membawa kelainan dalam sambutan Raya menerusi single terbarunya, Raya Bounce, yang menampilkan bintang baharu tempatan, Lucky Nerds. Dilancarkan pada 22 Mac 2025, lagu ini menggabungkan suasana Raya tradisional dengan rentak K-Pop, mencetuskan fenomena baharu dalam industri muzik tempatan.
Muzik video Raya Bounce ini diterbitkan oleh WebTVAsia dan Prodigee Asia Talent, dan disusun oleh produksi tempatan, Hype Beat Media. Susunan idea menampilkan semula penyanyi lagenda seperti Herman Tino, menjadikan MV ini lebih istimewa.
Kemunculan semula legenda muzik tanah air ini mencuri perhatian sebagai “pakcik” Isaac yang tegas tetapi kelakar, menambahkan elemen drama dan gelagat lucu dalam jalan cerita. Darimemarahi Isaac di sebuah kafe kerana bekerja pada malam raya, hingga mencabarnya dalam perlawanan Pickleball, penampilannya memberikan sentuhan nostalgia yang segar dalam MV ini.
MV ini turut dimeriahkan dengan penampilan khas daripada beberapa pempengaruh terkenal berbilang kaum, menjadikannya antara muzik video Raya paling meriah dan inklusif tahun ini. MV ini diakhiri dengan segmen tarian penuh tenaga yang menggabungkan elemen K-Pop dengan gerakan tradisional seperti Zapin.
Apa yang menjadikan muzik video ini lebih unik adalah bagaimana ia menampilkan cara berbeza rakyat Malaysia meraikan Hari Raya. Menurut Suzana Sukaimi, Ketua Perniagaan Domestik WebTVAsia dan penerbit muzik video Raya Bounce:
“Setiap orang ada cara tersendiri untuk menyambut Raya. Ada yang tidak mempunyai kampung untuk pulang, ada yang perlu bekerja, dan ada yang meraikannya di bandar. Namun, pada hakikatnya, Raya adalah tentang kegembiraan, kasih sayang, dan kebersamaan yang melangkaui lokasi.
“Sama ada di kota yang sibuk atau di kampung yang tenang, bersama keluarga atau rakan, semangat Raya tetap menyatukan kita semua. Kepelbagaian budaya di Malaysia mencerminkan semangat ini, di mana setiap cara sambutan, tidak kira bagaimana ia diraikan, menyumbang kepada keindahan perpaduan yang kita kongsi bersama.
Kami mahu muzik video ini menggambarkan bahawa Raya adalah untuk semua, meraikan pengalaman unik setiap individu dalam menyambutnya.”
Tahun ini, Raya Bounce turut menghidupkan visi Isaac untuk menghimpunkan peminatnya buat pertama kali dalam penggambaran muzik video ini. Ia bukan sekadar meraikan Hari Raya, tetapi juga meraikan peminatnya. Isaac mahu menunjukkan rasa penghargaan yang mendalam kepada mereka yang telah menyokongnya sepanjang berkarya, dan muzik video ini menjadi tribut istimewa buat mereka.
Dengan melibatkan peminat dalam proses kreatif, Isaac mengingatkan kita semua bahawa erti sebenar perayaan terletak pada hubungan yang kita bina dan rasa terima kasih yang kita tunjukkan kepada mereka yang sentiasa bersama kita.
Dengan konsep ceria dan menyeronokkan, Raya Bounce dijangka tular di TikTok dan Instagram Reels menerusi “Raya Bounce Challenge”, yang mengajak peminat untuk mempamerkan gerak tari kreatif atau video transisi kreatif gaya Raya mereka.
Isaac Voo turut berkongsi keterujaannya:
“Projek ini adalah cara saya membawa sesuatu yang segar dalam industri muzik Malaysia. Saya mahu orang ramai menari, ketawa, dan menyemarakkan semangat Raya dengan cara yang lebih menyeronokkan. Walaupun tak dapat balik kampung, kita tetap boleh beraya dan bergembira di mana sahaja kita berada.”
Raya Bounce kini boleh didengari di semua platform penstriman, manakala muzik video rasmi ditayangkan di saluran YouTube WebTVAsia. Peminat juga digalakkan untuk menyertai cabaran TikTok dengan hashtag #RayaBounce dan #RayaBounceChallenge, sambil menampilkan gaya Raya mereka dalam Baju Melayu dan Baju Kurung. – KopiPlanet.com
The post Isaac Voo Hasilkan Lagu Raya Bounce, Gabungkan Suasana Raya Tradisional Dengan Rentak K-Pop appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: