
Pelakon Filem 6 Jilake Meriahkan Suasana Di River Of Life & Dataran Merdeka, Turut Jadi Tumpuan Pelancong Antarabangsa
Baru-baru ini, barisan pelakon filem 6 Jilake telah memeriahkan suasana di sekitar River Of Life dan Dataran Merdeka apabila turun padang bertemu peminat dalam persalinan ala-ala orang lama.
Ternyata kehadiran Saiful Apek, Wan Gegau, Soya Souya, Myza Rafika, Chaoi Power, dan Panglima Aduka yang lengkap berpakaian seperti karakter mereka dalam filem tersebut mencetuskan keterujaan orang ramai yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama mereka.
Malah, apa yang lebih menarik lagi apabila kemunculan pelakon-pelakon berkenaan turut mencuri tumpuan pelancong-pelancong antarabangsa.
Penerbit 6 Jilake, Dr. Shasa Aziz berkata, beliau percaya aktiviti ramah mesra ini dapat menjalinkan hubungan secara langsung bersama warga kota dan menghebahkan tentang kehadiran filem sulungnya pada 24 April nanti di pawagam.
“Kami mahu membawa pengalaman filem terus kepada orang ramai. Dengan mengenakan pakaian karakter, ia bukan sekadar promosi biasa, tetapi memberi sedikit gambaran tentang dunia dalam 6 Jilake yang penuh aksi, komedi, dan elemen klasik.
“Kami percaya interaksi sebegini lebih dekat dengan penonton, terutama mereka yang mungkin belum mengetahui tentang filem ini.” katanya ketika ditemui.
Dr. Shasa turut menegaskan pendekatan promosi seperti ini bukan sahaja bertujuan menarik perhatian tetapi juga untuk menghidupkan kembali budaya filem tempatan yang mengutamakan hiburan bersifat unik dan beridentiti.
“Kami sedar persaingan dalam industri perfileman sangat sengit, lebih-lebih lagi dengan kehadiran filem antarabangsa yang mendominasi pawagam.
“Oleh itu, kami mahu memastikan 6 Jilake mendapat tempat di hati penonton dengan cara tersendiri. Apabila pelakon turun ke padang dalam kostum, ia secara tidak langsung menimbulkan rasa ingin tahu.
“Kami juga melihat reaksi pelancong yang teruja bertanya, malah ada yang menyangka ini adalah sebahagian daripada persembahan kebudayaan tempatan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sambutan yang diterima sangat menggalakkan, malah ramai yang meluahkan keterujaan untuk menonton filem arahan Aziz M. Osman itu setelah beberapa tahun beliau tidak mengarahkan filem epik.
“Kami terharu dengan respons positif, bukan sahaja daripada peminat tempatan, tetapi juga pelancong asing yang ingin tahu lebih lanjut tentang karakter dan filem ini.
“Ini membuktikan karya tempatan mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang bertanya mengenai latar belakang filem, ada juga yang mahu mengetahui lebih lanjut tentang sejarah inspirasi di sebaliknya.
“Bagi kami, ini adalah satu kejayaan kecil dalam memperkenalkan sinema Malaysia ke peringkat yang lebih luas,” tambahnya.
Filem 6 Jilake menampilkan gabungan elemen klasik dan moden dengan jalan cerita yang diinspirasikan daripada 6 Jahanam arahan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Mengisahkan sekumpulan samseng upahan Belanda yang cuba merampas lombong bijih timah di perkampungan Perak, filem ini turut mengangkat elemen ‘koboi lama’ di mana sekumpulan pendekar diupah untuk mempertahankan kampung daripada ancaman penjahat.
Filem 6 Jilake yang menelan belanja sebanyak RM2.8 juta menerima peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).
6 Jilake menampilkan lakonan bintang berbakat seperti Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek, Kazar Saisi, Asmidar, Kamarool Yusof, Laura Olivia, Wan Gegau, Wan Raja, Mamak Puteh, Jalil Hamid dan banyak lagi.
Dengan barisan pelakon hebat dan jalan cerita yang unik, 6 Jilake dijangka membawa satu pengalaman baharu buat penonton filem tempatan. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya di pawagam bermula 24 April ini! – KopiPlanet.com
The post Pelakon Filem 6 Jilake Meriahkan Suasana Di River Of Life & Dataran Merdeka, Turut Jadi Tumpuan Pelancong Antarabangsa appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: