Ads Top

Tumpu Ibadah Sepanjang Bulan Puasa, Nabil Banyak Berzikir Selepas Diuji

Tidak berbuat apa-apa, hanya menumpukan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.

Itulah dilakukan pelawak, pengacara dan penyampai radio, Nabil Ahmad selepas berdepan dengan kontroversi yang menghimpitnya bersama dua lagi rakan penyampai Era FM, Azad Jazmin dan Radin Amir Affendy berhubung dakwaan mempersendakan upacara agama Hindu.

Malah, tiga penyampai segmen 3 Pagi Era itu sudah menerima hukuman atas kekhilafan apabila digantung tugas serta merta.

Namun, tiada guna dikesali, nasi sudah menjadi bubur. Nabil sifatkan apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

Mungkin inilah juga peluang buatnya menggandakan ibadah dan mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa.

“Apa yang dapat saya katakan, semua pihak kena ambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

“Pengajarannya, kami juga kena lebih berhati-hatilah membuat video parodi pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, dia lebih banyak berzikir dan buat amal sepanjang tempoh direhatkan.

“Saya percaya tiada perkara yang tidak baik. Mungkin daripada mata kasar kelihatan seperti tak baik, tetapi ada kebaikan tidak diketahui.

“Jadi, bersangka baiklah kepada Allah, pasti perkara baik-baik akan menyusul, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pihaknya tetap menyambung kontrak Nabil biarpun kini dihambat kontroversi.

“Jangan risau, kontrak Nabil tetap disambung, Semua orang buat silap dan Nabil pun sudah meminta maaf. Saya melihat Nabil seorang yang jujur dan ikhlas.

“Saya akan sokong Nabil dan berharap peminat memberi semangat kepadanya.

“Saya dan Nabil sudah 15 tahun bersahabat. Ketika berdepan kesukaran dalam perniagaan ketika pandemik COVID-19, Nabil datang membantu saya. Dia adalah sahabat sejati,” katanya.

Terdahulu, tiga penyampai berkenaan didakwa mencetus kontroversi apabila mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

Video yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.

Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana ia penghinaan kepada tradisi Hindu.

Susulan itu, Kementerian Komunikasi dilapor mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan kakitangan stesen radio milik Astro itu.

SKMM tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan stesen radio Era FM. Namun, memutuskan stesen radio berkenaan didenda RM250,000 kerana memuatkan kandungan jelik melampau di TikTok.

Kompaun dikenakan ke atas syarikat berkenaan atas kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Namun, sehingga kini, Nabil, Azad dan Radin masih lagi digantung tugas sehingga siasatan dalaman selesai. – KopiPlanet.com

The post Tumpu Ibadah Sepanjang Bulan Puasa, Nabil Banyak Berzikir Selepas Diuji appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.