
Konsert Bertembung Final Piala Malaysia, Peminat Minta Amy Search Ubah Tarikh
Seorang peminat meminta penyanyi legenda, Datuk Amy Search, menukar tarikh konsert solo pertamanya memandangkan ia berlangsung pada hari yang sama dengan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC pada 26 April depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Hal yang demikian kerana konsert Amy Search Magic First Solo Concert yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena pada hari sama terletak bersebelahan dengan stadium itu.
Bagaimanapun, Amy kekal tenang ketika menjawab permintaan terbabit dan Amy yang juga anak kelahiran Johor Bahru, Johor dengan nada bergurau memberitahu kepada peminatnya untuk tidak menonton perlawanan itu kerana sudah mengetahui jawapannya.
“Tak perlu tengok sebab dah tentu JDT menang. Mana pernah JDT kalah,” balas Amy kepada pengikutnya itu.
Bersetuju dengan jawapan yang diberikan, individu itu lantas memberitahu akan hadir menonton konsert solo pertamanya meskipun bakal terlepas menyaksikan perlawanan bola sepak itu.
“Terbaik datuk. Betul juga. Baiklah saya ‘on’ konsert Amy,” tulisnya.
Terdahulu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perubahan tarikh baharu bagi aksi final Piala Malaysia yang membabitkan pertembungan JDT dan Sri Pahang.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu dalam kenyataan memaklumkan tarikh baharu aksi final itu ditetapkan pada 26 April di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Untuk rekod, selepas 44 tahun bergelar anak seni, Amy bakal muncul dengan konsert solo pertamanya ‘Amy Search Magic First Solo Concert’ di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April ini.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 67, berkata konsert berkenaan akan menjadi detik penting dalam sejarah kerjaya seninya selepas lebih empat dekad berkelana dalam industri muzik.
Tiket untuk konsert itu sudah dijual sejak 5 Feb lalu di www.wowtix.com.my. – KopiPlanet.com
The post Konsert Bertembung Final Piala Malaysia, Peminat Minta Amy Search Ubah Tarikh appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: