Bunga Tampil Dengan Single Sebulan Raya, Buah Tangan Baharu Buat Peminat
Kemeriahan berkumpul bersama keluarga saat menyambut lebaran pastinya dinantikan oleh sebahagian besar daripada kita. Paling mengujakan apabila dapat pulang ke kampung halaman sambil berkumpul beramai-ramai menjadikan sambutan Hari Raya begitu bermakna.
Hal yang sama turut ditunggu-tunggu oleh Bunga yang sering kali teruja untuk bersama keluarga merayakan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa. Menariknya tahun ini dia menghadiahkan Sebulan Raya sebagai buah tangan terbaharu untuk peminat.
Bercerita mengenai single terbarunya itu, ini merupakan single raya pertamanya sejak menceburi bidang seni pada 2019 dan pastinya dia teruja berkongsi ‘vibe’ raya kali ini.
“Sejujurnya Sebulan Raya memang memberikan keterujaan kepada saya. Semuanya berlaku dalam masa yang singkat dan saya gembira kerana berpeluang bekerja dengan ramai pihak dalam menjayakan lagu raya ini.
“Paling beruntung apabila dapat bekerjasama dengan abang Edry Abdul Halim yang bertindak selaku pencipta lagu ini. Memang ini antara kerjasama perdana yang sangat menarik sepanjang saya bergelar anak seni,” kata Bunga.
Bercerita lanjut mengenai kerjasama itu lagi, semuanya berlaku secara tidak sengaja apabila dia menghadiri acara Muzikal Lawak Superstar tahun lalu. Ketika itu lagu Magika yang merupakan runut bunyi filem Magika diperdengarkan dan sangat menarik perhatiannya.
Dari situlah tercetusnya idea untuk menghasilkan sebuah naskhah baharu yang mempunyai ‘vibe’ seperti kebanyakan runut bunyi filem Magika yang ditayangkan kepada umum pada 2010.
“Bila mendengarkan sahaja lagu tersebut, saya teringatkan kemeriahan filem berkenaan memandangkan itu merupakan kenangan waktu kecil. Jadi saya jumpa abang Edry dan minta dia buat naskhah baharu.
“Banyak perkara yang kami bincangkan bila berjumpa. Dia ada beri beberapa ‘beat’ untuk dipilih dan beri saya kebebasan untuk menambah baik karya berkenaan termasuklah memberikan idea kepada lirik dan sebagainya.
“Ini antara pengalaman paling berharga buat saya kerana dapat bekerjasama dengan komposer yang sudah berpengalaman luas,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Intan Payung ini lagi.
Sebulan Beraya merupakan lagu ciptaan Edry Abdul Halim dan diterbitkan oleh Warner Music Malaysia dan dilancarkan secara rasmi mulai 28 Februari di semua platform digital.
Bercerita mengenai video muzik (MV) pula, Bunga baru sahaja menjalani penggambaran minggu lalu beberapa lokasi di Sekinchan, Kuala Selangor. Pastinya apa yang berada di dalam fikirannya diterjemah oleh pihak produksi bagi membawa semula kemeriahan beraya bersama keluarga.
Jelasnya, sejak mula tercetusnya perancangan untuk merakamkan lagu tersebut, pelbagai idea sudah mula difikirkan olehnya untuk ‘dibawa masuk’ ke dalam MV ini selain menggunakan khidmat pasukan produksi berpengalaman.
“Ada beberapa idea saya beri dan mereka realisasikan dengan baik. Bagi saya ini adalah proses penting untuk memasukan hasilnya menggembirakan hati semua pihak termasuk peminat.
“Apa yang boleh saya katakan, memang MV kali ini meriah dan penuh dengan kejutan. Saya harap semua pendengar akan berpuas hati dan gembira menyambut kedatangan Syawal kali ini,” katanya yang bakal mengeluarkan album penuh tidak lama lagi.
Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran khas YouTube Warner Music Malaysia. – KopiPlanet.com
The post Bunga Tampil Dengan Single Sebulan Raya, Buah Tangan Baharu Buat Peminat appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: