Ads Top

Hazrat Muaz Kongsi Perasaan Seram Saksikan Tradisi Ritual Kuda Kepang Ketika Terlibat Dalam Telefilem Lumping Putih

Pengalaman kali pertama dapat menyaksikan sendiri ritual tradisi kuda kepang ternyata memberikan emosi tersendiri buat Hazrat Muaz ketika terlibat dalam penggambaran telefilem Lumping Putih baru-baru ini.

Bagaikan dirasuk, Hazrat berkata mereka yang melakukan ritual tersebut mengejutkan dirinya sementelah itu merupakan pengalaman pertamanya menyaksikan upacara tersebut secara langsung.

“Memang saya sangat teruja, dalam masa turut dihambat perasan seram dan takut apabila menyaksikan upacara ritual tersebut.

“Bayangkan permulaan upacara sahaja, pemain kuda kepang tersebut bagai dirasuk dan menjadi orang lain. Mereka akan mula menari dan mengikut gerakan yang sukar untuk difahami,” jelasnya.

Hazrat berkata, selama ini dia hanya mengetahui tentang seni dan warisan kuda kepang tetapi kali ini dirinya cukup bertuah kerana dapat terlibat sama dalam Lumping Putih bersama dengan pelakon hebat yang lain.

Lumping Putih merujuk kepada kuda kepang putih yang menjadi sebahagian daripada ‘watak’ penting kuda kepang. Telefilem ini bukan sahaja mengangkat tradisi berkenaan tetapi berani mengetengahkan unsur khurafat yang ada dalam setiap persembahan.

Diarahkan oleh Epo Jenon, Lumping Putih diterbitkan oleh pasukan Unit Drama RTM yang akan ditayangkan pada 7 Julai hadapan sempena sambutan Maal Hijrah.

Selain Hazrat yang membawa watak Lam Nasyrah, antara pelakon lain yang terlibat termasuklah Zaidi Omar, Azizah Mahzan, Soffi Jikan, Akmal Ahmad, Amalina Arham, Adam Ikmal, Ruzaidi Abd Rahman dan Asmidar.

Tambah pelakon yang berasal dari Kuantan, Pahang ini lagi dia teruja tatkala dapat bergandingan dengan nama-nama besar yang tidak pernah lokek menurunkan banyak ilmu lakonan kepada orang baharu sepertinya.

“Bila berada di set, saya gembira kerana semua pihak memberikan kerjasama baik untuk melancarkan penggambaran. Saya sendiri sudah membuat beberapa kajian tentang kisah kuda kepang ini agar dapat memahami dengan lebih jelas kisah Lumping Putih selain memahami kehendak pengarah.

“Hampir dua minggu kami berkampung di set penggambaran, banyak perkara baharu yang saya perolehi. Mereka ajar bagaimana untuk melontarkan dialog dan permainan emosi yang betul, saya sangat hargainya,” kata Hazrat yang sudah membintangi beberapa buah drama popular sebelum ini.

Menjalani penggambaran di Muar dan Batu Pahat, Lumping Putih sebenarnya mengangkat tarian tradisi masyarakat Johor terutama mereka yang berketurunan Jawa. Namun kali ini mereka mengolah kisah sebuah keluarga yang masih meneruskan warisan berkenaan.

Mim Lazim merupakan ayah kepada Alif Narbawi, Lam Nasyrah dan Mim Iqlab. Mim Lazim mahu menurunkan warisan kuda kepang kepada anak sulung Alif Narbawi, namun Mim Iqlab tidak setuju kerana ayahnya mahu mengekalkan kuda kepang tradisional yang ada ritual pembuka dan penutup.

“Apa yang diangkat dalam naskhah ini bukan sekadar mahu mengingati kuda kepang semata-mata sebaliknya ia sarat dengan seribu satu pengajaran. Saya hormati mereka yang masih meneruskan tarian ini walaupun kebanyakan generasi muda sudah kurang mengenalinya.

“Yang mana baik, kita teruskan. Yang buruk pula kita tinggalkan. Apa yang penting mesej baik akan sampai kepada penonton,” tambahnya lagi. – KopiPlanet.com

The post Hazrat Muaz Kongsi Perasaan Seram Saksikan Tradisi Ritual Kuda Kepang Ketika Terlibat Dalam Telefilem Lumping Putih appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.