Ads Top

Bakal Ceburi Industri Kreatif, Usanita Adakan Perjumpaan Dengan Penerbit Filem Terkenal Indonesia

Usanita Sdn Bhd kini telah mengorak langkah baharu dalam perniagaan apabila bakal menceburi industri kreatif.

Sebagai permulaan, deligasi diketuai oleh Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan berjumpa dengan beberapa penerbit filem terkenal di Jakarta, Indonesia pada 28 hingga 30 Jun lalu.

Mereka terdiri daripada Raam Punjabi dari PT Multivision Plus; Manoj Punjabi (MD Entertainment); Deddy Mizwar (PT Demi Gisela Film dan Ketua Umum Persatuan Produser Film Indonesia -PPFI), Zairin Zein, (produser dan Setiausaha Agung PPFI) dan Ilham Bintang (Pengarah PT Bintang Advis Multimedia).

Adzliana berkata, pihaknya mahu memberi fokus terhadap usaha menjalin dan memperkukuh kolaborasi dengan pemimpin industri kreatif di Indonesia serta meneroka kerjasama serantau.

“Industri kreatif Indonesia adalah mercu tanda inovasi dan kekayaan budaya. Pihak kami teruja untuk meneroka peluang dan bekerjasama bagi meningkatkan lagi inisiatif Usanita yang mampu menyumbang kepada pembangunan industri kreatif yang dinamik di kedua-dua negara,” katanya.

Menurutnya, industrti kreatif adalah peluang baharu yang boleh meningkatkan semangat keusahawanan dalam kalangan ahli Usanita.

“Kami dikenali sebagi sebuah organisasi yang menjalankan program kebajikan dan sosial di seluruh negara. Ia turut berperanan dalam pembinaan komuniti melalui acara yang memberi impak kepada masyarakat seperti bengkel, ekspo dan karnival keusahawanan.

“Selain memberikan bantuan kebajikan, Usanita juga aktif dalam mempromosi padanan perniagaan-ke-perniagaan dan industri kreatif adalah peluang baharu yang boleh meningkatkan semangat keusahawanan dalam kalangan ahli,” katanya.

Pada pertemuan tiga hari itu, turut serta penerbit, pengarah dan pelakon terkenal tempatan Erma Fatima yang membuktikan komitmen Usanita terhadap kecemerlangan seni dan pertukaran budaya.

Sementara itu, Erma berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia dan Indonesia menghidupkan semula produksi filem secara usahasama seperti yang dilaksanakan pada tahun 80-an dan 90-an.

“Kerjasama sebegini memberi peluang untuk kita bertukar pengetahuan agar mampu memenuhi kehendak penonton yang semakin mencabar.

“Teknologi produksi filem juga mengalami perubahan pesat dan jika bergabung, kedua-dua negara mempunyai kekuatan untuk menakluk pasaran global dengan sinergi yang betul,” katanya.

Delegasi Usanita turut melawat IDN Media dan berbincang dengan pihak pengurusan tertingginya untuk meneroka potensi kerjasama kreatif.

Perbincangan itu tertumpu kepada pembangunan bersama kandungan kreatif dan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk melaksanakan projek yang inovatif dan menarik minat penonton di kedua-dua negara. – KopiPlanet.com

The post Bakal Ceburi Industri Kreatif, Usanita Adakan Perjumpaan Dengan Penerbit Filem Terkenal Indonesia appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.