Ads Top

Lancar Dua Filem Serentak, 4ward Entertainment Pertaruhkan Harimau Malaya & Terkutuk

Dua filem cereka, ‘Harimau Malaya’ dan ‘Terkutuk’ terbitan 4ward Entertainment Sdn Bhd dilancarkan bersempena Majlis Hari Raya syarikat produksi itu di Hotel Le Meredien baru-baru ini.

Filem ‘Harimau Malaya’ arahan Datuk Afdlin Shauki yang kini pada fasa suntingan akhir dan kesan khas imej janaan komputer (CGI) akan ditayangkan di pawagam pada 27 Jun

2024.

‘Harimau Malaya’ yang mendapat kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ini mengangkat kisah perjalanan pemain bola sepak negara dan kisah empat peminat tegar (Ultras Malaya). 

Dua plot ini ditemukan pada perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bangladesh, di mana Harimau Malaya memenangi perlawanan itu, sekaligus menamatkan penantian selama 42 tahun dalam kejohanan itu.

Filem bertemakan kenegaraan dan patriotisme ini dibintangi oleh Meerqeen, Aidil Aziz, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Zain Hamid, Vanidah Imran, Erra Fazira, Sophia Albarakbah, Amelia Henderson, Namron, Bell Ngasri, Kavin Jay, Douglas Lim, Hazama dan Azhar Sulaiman.

Sementara itu, sebuah lagi filem pertaruhan 4ward Entertainment berjudul ‘Terkutuk’ adalah kerjasama dengan produksi Indonesia dan diarahkan Andibachtiar Yusuf. Filem seram itu pula ditayangkan pada Jun atau Julai 2024.

Filem yang menampilkan gandingan pelakon Malaysia dan Indonesia antaranya Atiqah Hasihola, Baim Wong, Nora Danish, Putri Ayudya, Amir Ahnaf dan Whani Dharmawan ini menjalani penggambaran pada Julai 2023 di sekitar Jakarta, Indonesia.

Ia mengisahkan seorang wanita bekerjaya sebagai wartawan foto iaitu Radha yang berdepan masalah kewangan. Akibat tekanan itu, Radha dan anaknya terpaksa mencari rumah yang lebih murah di sebuah flat. 

Uniknya, Radha menduduki sebuah flat yang mempunyai bilik khas untuk memproses filem negatif. Misteri bermula apabila Radha menerima bungkusan tanpa nama atau alamat yang jelas. 

Perasaan ingin tahu mendorong Radha membuka bungkusan itu. Akibatnya suasana seram dan menakutkan mula menghantui flat tersebut sehingga menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, dua penerbitnya, Nashrul Azlee Nasir dan Alif Nabil Ismail berharap kedua-dua filem ini mendapat sambutan yang baik apabila ditayangkan kelak.

Menurut Nashrul, penghasilan filem ‘Harimau Malaya’ yang juga filem cereka tempatan pertama syarikatnya adalah sesuatu yang sentimental dan penting kepada mereka berdua secara peribadi.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya dan Alif adalah kaki bola dan menyokong pasukan kebangsaan kita. Filem ini adalah impian kami dan kami tidak sabar untuk melihat filem ini menemui masyarakat nanti.

“Ia boleh diibaratkan hadiah kami buat rakyat Malaysia dan peminat pasukan kebangsaan kita. Tinggi harapan saya filem ini diterima dengan baik oleh semua,” katanya.

Mengenai filem ‘Terkutuk’, rakan kongsinya, Alif pula berkata, mereka memang aktif menerbitkan beberapa filem untuk pasaran Indonesia dengan kerjasama tenaga produksi di sana sebelum ini.

“Filem ‘Terkutuk’ ini adalah sebuah lagi filem kami yang menggabungkan pelakon Malaysia dan Indonesia dan diarahkan pengarah dari sana. 

“Filem ini sudah ditayangkan di Indonesia menerusi judul ‘The Parcel’ pada hujung tahun lalu dan kini untuk tayangan Malaysia pula. Saya harap filem ini juga mendapat sambutan nanti,” katanya.

Kedua-dua penerbit ini juga berharap kemunculan dua filem cereka ini menjadi permulaan yang baik untuk 4ward Entertainment selaku penggiat baharu industri perfileman tanah air. – KopiPlanet.com

The post Lancar Dua Filem Serentak, 4ward Entertainment Pertaruhkan Harimau Malaya & Terkutuk appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.