Ads Top

Disangka Sudah Tidak Aktif, Estranged Kini Masih Kerap Penuhi Undangan Nyanyian Di Sabah

Dilihat seakan-akan seperti menyepi daripada industri hiburan, kumpulan Estranged menyatakan mereka masih lagi aktif menyanyi.

Salah seorang anggota kumpulan berkenaan, Hanafi yang juga gitaris berkata, mereka kerap mendapat undangan nyanyian di Sabah.

“Estranged tidak pernah berpecah dan kami banyak mengadakan persembahan di festival dan acara-acara yang dianjurkan.

“Malah, kami turut aktif dalam melakukan kerja-kerja amal atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sabah untuk mengumpul dana, termasuk menyanyi di pentas pickup truck,” ujarnya.

Estranged berkongsi perkara itu menerusi sidang media konsert Estranged Sapa Peminat Dengan Konsert Apa Khabar Teman? yang berlangsung baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut tentang CSR yang dilakukan, Hanafi menyatakan sebahagian daripada hasil keuntungan yang diperoleh akan disumbangkan kepada penduduk pedalaman di negeri berkenaan.

“Kami mula aktif dalam CSR sejak tahun 2016 dan sepanjang tempoh tersebut kami berjaya membantu empat buah kampung di Ranau, Sabah dalam penghasilan Mini Hydro Generator manakala di Keningau pula pembinaan internet jalur lebar.

“Di kawasan pedalaman sebegitu, memang kebanyakkan penduduk mengalami masalah bekalan air. Jadi, kami kumpul dana untuk mereka dan kami turut berkerjasama NGO,” ujarnya.

Berkenaan konsert yang akan berlangsung nanti, ia membawakan tema ‘Hancur Aku’ yang diambil dari hit lagu sama menerusi album Sepenuhnya Vol. 1, Konsert Estranged Apa Khabar Teman? pada 3 Februari 2024 di Persada Johor, Johor Bahru.

Menurut Rich selaku vokalis, selepas tujuh tahun tidak aktif terutama di semenanjung, mereka kembali menyapa peminat menerusi konsert berkenaan.

“Ada banyak perkara yang kami ingin kongsikan. Ia lebih daripada sekadar pertemuan biasa tetapi tentang nilai persahabatan yang telah terjalin di antara kami serta peminat Estranged. Menerusi Konsert Estranged Apa Khabar Teman? kami mahu memperkenalkan imej atau bunyian baharu dari Estranged kepada semua. 

“Inilah (bunyian baharu) yang kami usahakan sepanjang tidak aktif termasuk sewaktu dunia dilanda pandemik dan akhirnya sedia untuk diperkenalkan kepada semua. Kami juga mahu Konsert Estranged Apa Khabar Teman? menjadi medan pertemuan Estranged dengan peminat lama dan punya keinginan atau misi mengumpul peminat dalam kalangan pendengar baharu,” ujarnya. – KopiPlanet.com

The post Disangka Sudah Tidak Aktif, Estranged Kini Masih Kerap Penuhi Undangan Nyanyian Di Sabah appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.