Ads Top

Ogy ‘Tampar’ Tya Arifin Dalam Drama Pendek Saksi Malam Syawal

Video dimuat pelakon dan usahawan terkenal Tya Arifin yang memaparkan dirinya ditampar dan dipukul pelakon terkenal Fauziah Ahmad Daud atau Ogy mengundang pelbagai komen warganet.

Lakonan hebat Ogy sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi, begitu juga dengan Tya apabila berjaya memperlihatkan sisi berbeza dirinya dalam berkarya.

Video yang dimuat naik sejak 4 April itu sudah mencecah 17.3 juta tontonan di Instagram Tya yang mana ia antara babak yang terdapat dalam drama pendek Saksi Malam Syawal.

Tya berkata, satu penghargaan buat dirinya apabila dapat bergandingan dengan pelakon berkaliber seperti Ogy.

“Drama pendek Saksi Malam Syawal ini adalah karya terbaharu daripada Mutyara bersempena sambutan Syawal tahun ini. Apa yang lebih membanggakan saya dan pasukan apabila Kak Ogy sudi menerima tawaran untuk berlakon. Ia satu penghargaan dan pengalaman yang cukup bermakna buat kami.

“Dalam Saksi Malam Syawal ini kita nak memperlihatkan realiti hubungan menantu dan mentua dalam menyambut raya. Dipaparkan bagaimana mentua itu berperangai ‘hantu’ dengan memberi layanan yang teruk kepada menantunya.

“Disebabkan itu, ada banyak babak yang memaparkan ‘kekejaman’ mentua terhadap menantunya. Memang sedih dan meruntun jiwa. Selebihnya, anda kena saksikan drama ini di saluran Youtube The Tya’s Family,” katanya.

Sementara itu, Ogy berkata, semua aksi yang dipaparkan adalah lakonan semata-mata dengan menggunakan teknik betul.

“Aksi tampar dan pukul itu hanya lakonan. Ia adalah teknik lakonan. Bunyi tamparan pula adalah kesan bunyi. Saya masih waras dan tidak akan tampar betul,” katanya. 

Menariknya juga, drama pendek ini menggabungkan lakonan hebat bintang dua negara.

Malah, dalam drama ini Tya yang melakonkan watak menantu menggunakan bahasa Indonesia, sementara Ogy sebagai mentua berbahasa Melayu.

“Saya nak berterima kasih kepada Kak Ogy kerana banyak membantu saya dan pasukan sepanjang penggambaran dibuat. Kak Ogy bukan saja berlakon, tapi juga menjadi guru di lokasi.

“Bagi saya, situasi sebegini sangat jarang berlaku dalam mana-mana produksi. Sebab itu, untuk karya kali ini saya anggap ia sangat bermakna, memberikan banyak pengalaman serta ilmu,” katanya.

Tonton sampai akhir drama pendek ini kerana ada tawaran istimewa untuk anda berpeluang menang duit raya daripada Tya Arifin.

Jom ke Youtube Tya Arifin untuk sertai peraduan ‘giveaway’ duit raya https://youtu.be/2uup5dcA_Kg – KopiPlanet.com

The post Ogy ‘Tampar’ Tya Arifin Dalam Drama Pendek Saksi Malam Syawal appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.