Ads Top

Lima TikTokers Popular Bergabung Jadi The Dollah, Tampil Dengan Lagu Raya Raya Raya 2.0

Karektor unik, kelakar dan bersahaja sebenarnya menjadi kekuatan kepada setiap anggota The Dollah yang baru sahaja ditubuhkan khas untuk projek lagu parodi Raya Raya Raya oleh Dolla dengan judul RAYA RAYA RAYA 2.0.

The Dollah yang merupakan gabungan lima TikTokers popular dianggotai oleh Wanchai, Farihinarnia, Yeet, Adam Bakery dan Black, mereka begitu teruja apabila dapat memparodikan semula lagu tersebut dengan gaya tersendiri untuk peminat.

Bagi Wanchai, 24, pastinya projek RAYA RAYA RAYA 2.0 memberikan keterujaan memandangkan ini merupakan gandingan perdana mereka berlima sementelah selama ini hanya bergabung menerusi konten di TikTok sahaja.

“Sebenarnya band projek ini memang memberikan pengalaman baharu kepada kami semua. Bila diberikan tawaran untuk memparodikan semula lagu Dolla, pastinya kami teruja memandangkan ini merupakan pengalaman pertama untuk saya secara peribadi bila masuk ke studio rakaman.

“Ini pengalaman pertama kami dan banyak perkara telah dipelajari. Bukan mudah sebenarnya nak jadi penyanyi rakaman tapi kami berjaya lakukan bersama,” kata Wanchai.

Hal yang sama turut dizahirkan oleh Farihinarnia, 23, apabila menganggap pengalaman berada di dalam studio rakaman sebagai sesuatu yang menarik perhatian.

“Proses rakaman lagu agak mencabar memandangkan kami semua adalah content creator bukannya penyanyi. Agak sukar menyempurnakan lagu seperti penyanyi lain.

“Kalau nak tahu memang kami mengambil masa yang panjang untuk proses rakaman bermula jam 9 malam sehingga 2 pagi. Macam-macam peristiwa lawak yang berlaku termasuklah soal teknikal seperti mengikut tempo dan sebagainya,” kata Farihinarnia pula.

RAYA RAYA RAYA 2.0 merupakan kerjasama antara FYP Media yang menaungi kelima-lima Tiktokers bersama Universal Music Malaysia. 

Memandangkan mereka merupakan content creator yang popular di aplikasi TikTok yang mempunyai 5 juta pengikut secara keseluruhan, sudah tentu pelbagai idea timbul untuk mereka sama-sama meraikan Aidilfitri termasuklah menghasilkan lagu raya sendiri.

Namun, disebabkan personaliti masing-masing yang happy go lucky dan kelakar, maka tercetuslah idea untuk mereka memparodikan lagu yang sudah ada berbanding merakamkan lagu baharu.

Mengenai pemilihan lagu Raya Raya Raya oleh Dolla pula, lagu berkenaan memang popular dan mendapat sambutan baik pendengar sejak dilancarkan pada 2021.

Bagi Yeet pula, dia gembira The Dollah diberikan peluang untuk memberikan nafas baharu kepada lagu berkenaan mengikut kreativiti mereka.

“Sebenarnya lirik lagu ini diubah tetapi beberapa hook liriknya sahaja dikekalkan. Bila penggambaran muzik video (MV) dilakukan, pastinya semua menjadi kelam kabut dengan perangai masing-masing.

“Tambahan pula konsep MV diambil daripada kehidupan orang bujang melakukan persiapan raya, pelbagai babak menarik serba ‘huru hara’ boleh ditonton dalam MV ini,” jelas Yeet yang berasal dari Sarawak.

Menariknya, mereka sebenarnya menambah rasa dengan menggunakan loghat Perak semasa proses rakaman berlangsung.

Bagi Adam Bakery, 22, pada asalnya dia hanya menyelitkan beberapa perkataan sahaja namun akhirnya semua ahli The Dollah menggunakan beberapa perkataan loghat Perak sebagai daya penarik.

“Bila proses rakaman berlangsung, saya terfikir apa benda menarik yang boleh dilakukan. Kami bukan penyanyi sebenar yang ada kekuatan vokal. Jadi saya sebut beberapa perkataan penting.

“Tak sangka pula apabila semuanya sudah siap, ramai yang suka dengannya. Apa yang penting saya berharap lagu ini akan diterima baik oleh pendengar dan peminat,” kata Adam yang juga merupakan adik kepada Ryan Bakery.

Dia juga berbangga apabila kesemua mereka dapat merakamkan lagu ini di Studio Faithfull milik Faizal Tahir. Jelasnya, peluang tersebut begitu berharga buat mereka dan menganggap ia kenangan yang tidak dapat dilupakan mereka.

Bagi Black, 21, pula, dia menganggap projek kali ini sebagai satu pengalaman mencabar untuknya tatkala terpaksa menari dan mengikut gerakan yang perlu dilakukan.

Akuinya lagi, dia sendiri agak kekok menari dan menganggap ini merupakan cabaran terbesar untuknya menyiapkan MV ini.

“Memang sukar pada awal tapi saya buat sahaja memandangkan ini lagu parodi. Tapi saya gembira kerana rakan-rakan yang lain banyak membantu dan mengajar saya step yang patut dilakukan.

“Untuk semua peminat, bukan senang nak tengok saya menari. Jadi, semua kena tonton MV yang sudah boleh ditonton mulai hari ini,” katanya lagi.

Dilancarkan secara rasmi pada 14 April, MV RAYA RAYA RAYA 2.0 sudah boleh ditonton melalui YouTube Universal Music Malaysia bermula jam 5 petang. Lagu ini juga boleh distrim disemua platform digital hari yang sama. – KopiPlanet.com

The post Lima TikTokers Popular Bergabung Jadi The Dollah, Tampil Dengan Lagu Raya Raya Raya 2.0 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.