Imam Bukan Sekadar Sarat Dengan Mesej Keagamaan Semata-Mata
Tajuk: IMAM
Tarikh Tayangan: 2 MAC 2023
Genre: Drama
Pengarah: Mior Hashim Manap
Pelakon: Datuk M Nasir, Faizal Hussein, Datin Natasha Charmaine, Vanidah Imran
Bagi mereka yang sudah membaca novel Imam karya Sasterawan Negara, Allahyarham Abdullah Hussain, pastinya sudah cukup memahami tentang jalan cerita serta kisah yang ingin disampaikan.
Bagaimanapun, apabila diangkat ke naskah filem oleh pengarah Mior Hashim Manap, pastinya ada sesuatu yang cukup menarik untuk ditonton.
Jika mereka yang belum berkesempatan membaca novel Imam, penulis merasakan menontonnya filemnya di layar perak sudah pun memadai.
Imam mengisahkan tentang perjuangan seorang imam iaitu Haji Mihad yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri.
Namun ia mendapat tentangan dari sebahagian penduduk kampung yang seagama dan sebangsa malah dari saudara-maranya sendiri.
Selain itu, Haji Mihad juga didakwa membawa ajaran baru yang agak asing bagi kampung itu sehingga mendapat perhatian pihak Majlis Agama.
Apa yang menariknya, Imam membariskan dua pelakon hebat iaitu Dato M Nasir yang membawakan watak Haji Mihad dan Faizal Hussein (Haji Syamsuri) selain Vanidah Imran serta Datin Natasha Charmaine.
Biarpun filem ini berlatar belakang sekitar tahun 80-an, namun apa yang digambarkan dalam jalan ceritanya masih berlaku dalam dunia realiti sehingga sekarang dan bukan sekadar sarat dengan mesej keagamaan semata-mata.
Misalnya, paparan orang Melayu yang dilihat berpecah, selain peranan masjid yang hanya digunakan untuk solat, sedangkan banyak fungsinya yang lain dan itu semua tidak dinafikan masih lagi terjadi.
Secara keseluruhannya, bagi penonton yang ingin kelainan setelah kerap disajikan dengan naskhah filem yang sama, penulis rasakan Imam mampu memberikan kelainan yang menarik. – KopiPlanet.com
The post Imam Bukan Sekadar Sarat Dengan Mesej Keagamaan Semata-Mata appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: