Studio Kembara Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang Berkenaan Dakwaan Tidak Jelaskan Bayaran RM150,000
Penerbit filem Kembara Studio menafikan tuduhan seorang individu beranama Zul Hassan yang mendakwa tidak diberi bayaran sebanyak RM150,000.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pihak Kembara Studio menyatakan semua pembekal sudah dibayar atas segala khidmat dan tugas mereka.
“Dakwaan kami ada berhutang sejumlah wang kepada Zul Hassan adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.Kami menafikan bahawa individu berkenaan adalah pemilik bagi sebuah tanah di set penggambaran filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.
“Malah individu tersebut hanya memegang status pemilikan tanah yang dijadikan set penggambaran pada 29 Julai 2019 sedangkan seluruh penggambaran filem telah selesai pada Februari 2019. Ini dapat dibuktikan melalui carian tanah di Kampung Padang Marhum, Lambor Kanan, Perak seperti yang didakwa,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak Studio Kembara tidak ada membuat apa-apa binaan untuk tujuan penggambaran filem Mat Kilau di atas tanah yang didakwa milik individu berkenaan.
Jelasnya, dakwaan binaan dibuat atas tanah tersebut juga tidak benar kerana binaan berbentuk jeti dibuat di atas tanah rezab sungai.
“Encik Zul Hassan tidak mempunyai apa-apa asas untuk menuntut bayaran mahupun imbuhan dari kami. Malah, pihak subkontraktor Studio Kembara ada memberi sejumlah wang sebanyak RM3,000 kepada individu tersebut sebagai kos sewa jeti kerana beranggapan beliau adalah pemilik tanah tersebut yang kemudian disahkan tidak benar.
“Malah, semakan kami mendapati terdapat bayaran-bayaran yang tidak sepatutnya dibayar kepada individu tersebut tetapi telah dibayar melalui subkontraktor Studio Kembara,” ujarnya
Pada masa sama, pihaknya mengesahkan tiada sebarang janji, kontrak, mahupun persetujuan yang pernah dibuat kepada individu tersebut berkaitan sebarang kos dalam apa jua khidmat atau peranan termasuklah penyedia tapak, pembinaan set, keselamatan, penginapan atau apa-apa tugas sekalipun.
“Kami mengesahkan bahawa semua set atau lokasi penggambaran telah dibuat di atas tanah atau tempat telah dibenarkan oleh pemilik sah di sisi undang-undang.
“Kami turut menegaskan bahawa semua pembekal, penyedia perkhidmatan, atau subkontraktor telah dibayar lengkap atas kerja-kerja yang mereka lakukan dan tiada lagi bayaran tertunggak yang perlu dibayar oleh Studio Kembara kepada mana-mana pihak. Ini dapat dibuktikan dengan segala rekod pembayaran yang kami simpan,” ujarnya lagi.
Tegasnya, terdapat dakwaan palsu dan malah boleh dianggap cubaan menipu pihak Studio Kembara oleh individu tersebut.
“Unit Undang-Undang Studio Kembara sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Zul Hassan kerana terdapat unsur penipuan dan dakwaan palsu yang telah mencemar nama baik Studio Kembara,” ujarnya. – KopiPlanet.com
The post Studio Kembara Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang Berkenaan Dakwaan Tidak Jelaskan Bayaran RM150,000 appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: