Ads Top

TVS Lancar Program Realiti Hiburan Getaran Jiwa, Imbau Kenangan P. Ramlee & Saloma

Bertemakan ‘Irama Mengimbau Kenangan’, TVS dengan sokongan Kerajaan Sarawak melancarkan program realiti hiburan, Getaran Jiwa.

Diinspirasikan oleh karya Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma, program lapan episod ini akan menemui penonton di saluran 122 di Astro dan MYTV mulai 21 Oktober ini.

Bersiaran setiap Jumaat, jadual mingguan program ini akan dimulai dengan tayangan kapsul ‘Debaran Jiwa’ pada pukul 7.30 malam hingga 8.00 malam, diikuti siaran langsung ‘Getaran Jiwa’ pada 8.45 malam hingga 10.15 malam.

Menampilkan 40 peserta melalui pencarian bakat baru dari seluruh negara, konsep dan format program ini merupakan idea bersama TVS dan Morningstar Entertainment diwakili Adlan Shaharir sebagai Penasihat Kandungan Kreatif.

Adlan berkata, setiap peserta bakal bersaing hebat untuk merebut hadiah terkumpul sebanyak RM60,000, persembahan akan dinilai melalui sistem pemarkahan ‘Jiwa Meter’ yang terbahagi kepada 70% oleh barisan juri profesional diketuai oleh Dato’ Nash dan 30% oleh juri awam yang mengundi di atas talian.

“Untuk membawakan kelainan dan nafas baharu, susunan muzik karya-karya evergreen Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma bakal kami olah supaya menjadi lebih kontemporari.

“Insya-Allah, bakat-bakat baru yang kami ketengahkan dan persembahan yang bakal kami sajikan akan mencuit hati para penonton,” ujarnya.

Antara yang hadir daripada TVS semasa sidang media tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Rizal Zulkapli, Pengurus Saluran, Aizal Ibrahim dan Penerbit Penyelaras, Yume Suryani.

Turut bersama meraikan pelancaran program tersebut adalah Dato’ Nash selaku Ketua Juri, Noraniza Idris, Fauziah Latiff, Liza Hanim, Ayai Ilusi dan Fauzi Marzuki sebagai barisan juri jemputan dan Rody Kristal selaku Pengarah Muzik Getaran Jiwa.

Sementara itu, Yumi menjelaskan tanpa lari daripada intipati asal lagu kedua-dua legenda tanah air tersebut, para peserta diberikan peluang menggunakan kreativiti mereka untuk mengangkat martabat lagu yang sedia ada.

“Dengan barisan peserta dari seluruh Malaysia daripada latar belakang yang pelbagai, kami juga tidak sabar menunggu kejutan daripada bakat-bakat ini,” jelasnya.

Turut berucap semasa majlis tersebut, Rizal mendedahkan bahawa Getaran Jiwa merupakan rancangan hiburan ketiga terbitan TVS untuk tahun 2022 selepas program TVS Live dan Pemerindang Borneo.

“Proses untuk membawakan Getaran Jiwa ke kaca TV lebih 9 juta penonton TVS bukanlah hal yang mudah. Namun, dengan sokongan kerajaan negeri Sarawak, kegigihan tenaga kerja TVS dan creative team di Morningstar membolehkan kami menyiarkan program ini LIVE dari Sarawak kepada penonton di seluruh Malaysia tidak lama lagi,” ujar beliau lebih lanjut.

Mengakhiri ucapannya, Rizal mengajak jemputan di majlis tersebut dan orang ramai untuk bersama-sama menyokong dan menonton program realiti Getaran Jiwa.

Dimeriahkan oleh Jiggy Masin dan Sissy Iman selaku hos sidang media dan juga pengacara Getaran Jiwa, sidang media tersebut turut memperkenalkan barisan peserta program dan hos kapsul ‘Debaran Jiwa’, Fattah Bolhanuddin dan Siti Zawawi.

Jangan lupa saksikan Getaran Jiwa yang bakal mewarnai kaca TV anda pada pukul 8.45 malam, setiap Jumaat bermula 21 Oktober 2022. Hanya di TVS, saluran 122 di Astro dan MYTV. Ikuti laman media sosial Getaran Jiwa (https://linktr.ee/getaranjiwa ) untuk maklumat lanjut. – KopiPlanet.com

The post TVS Lancar Program Realiti Hiburan Getaran Jiwa, Imbau Kenangan P. Ramlee & Saloma appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.