Ads Top

Naga Kramat Jadi Konsert Penutup Wings Untuk Tahun 2022

Sudah 37 tahun nama Wings masih unggul didalam arena muzik Malaysia. Tahun 2022 menjadi tahun yang agak sibuk bagi kumpulan ini. Yang terbaharu, persembahan di negara jiran Singapura baru-baru ini sempena perlumbaan Formula 1.

Kali ini sekali lagi kumpulan rock no.1 Malaysia bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur. Lokasi bertaraf dunia ini akan menjadi gelanggang Wings bagi siri konsert terakhir untuk tahun ini di Kuala Lumpur. 

‘Naga Kramat’ menjadi pilihan jenama konsert kerana ia boleh memberi gambaran tentang kehebatan anggota kumpulan Wings bila berada dipentas yang besar dan gah.

Peminat tegar Wings sedia maklum bahawa ‘Naga Kramat’ adalah tajuk bagi sebuah album Wings yang diterbitkan pada tahun 2002 (album ke 10). 

Perjalanan Wings masih teguh apabila mereka bakal adakan konsert pada 22 Oktober 2022 (Sabtu), jam 8.45pm bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

“MW Mega Production dan Awie Entertainment merancang lebih kurang dua bulan lepas untuk melaksanakan projek ini. Peringkat awal agak sukar kerana jadual Wings dan Dato’ Awie agak padat.

“Setelah berbincang dengan pihak Awie Entertainment akhirnya tarikh keramat ini dipilih sebagai hari yang terbaik untuk menjayakannya,” ujar Mashar Mokhtar selaku penganjur. 

Ujarnya, ia adalah projek sulung MW Mega Production dan pastinya pihaknya meletakkan harapan yang sangat tinggi untuk acara ini.

“Saya memberikan 110% komitmen bagi memastikan konsert ini berjalan lancar dan berjaya. Saya menyeru semua sayap-sayap Wings dan peminat rock tanahair untuk datang dan saksikan sendiri konsert ini. Saya janji ia akan memberikan kepuasan yang maksima untuk anda,” ujarnya.

Hari ini pihak MW Mega Productions mengumumkan satu harga baru khas untuk pelajar IPTA/IPTS iaitu RM169.00 bagi tiket kategori bediri di zon ‘Bujang Senang’.

Ia dilakukan kerana ada permintaan dari kalangan pelajar. Pihak MW Mega Production mengambil kira pandangan pelajar yang kurang berkemampuan untuk membeli harga tiket yang tersenarai sebelum ini.

“Jadi harga yang ditawarkan ini sangat berbaloi untuk menyaksikan persembahan dari lagenda rock Malaysia. Syaratnya mudah, mereka hanya perlu menunjukkan bukti kad pelajar semasa membuat tempahan atau belian dan pembelian tiket ini hanya sah melalui ejen Sayap – Sayap Wings (Encik Zul).

Selain itu, pihak penganjur juga sedang mempertimbangkan untuk menambah jumlah kerusi memandangkan permintaan yang agak tinggi untuk kategori tempat duduk.

”Kami akan umumkan dalam masa terdekat dimedia sosial Naga Kramat dan Sayap – Sayap Wings, ianya masih dalam perbincangan antara kami, Zepp KL dan ticket2u,” ujarnya lagi.

MW Mega Production menjelaskan tiket konsert mula dijual secara atas talian di www.ticket2u.com.my/nagakramat dan mendapat sambutan yang bagus.

“Memandangkan tempat yang agak terhad amat digalakkan untuk mereka membuat pembelian seawal mungkin bagi mengelakkan keciciran untuk menyaksikan konsert ini.

“Harga tiket mengikut kategori bermula dari RM244 (Bujang Senang), RM274 (Amok), RM364 (Misteri Mimpi Syakila) dan RM574 (Taman Rashidah Utama),” jelasnya. – KopiPlanet.com

The post Naga Kramat Jadi Konsert Penutup Wings Untuk Tahun 2022 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.