Ads Top

Remp-IT 2 Akhirnya Terhasil Selepas 16 Tahun… Karya Pertama Farid Kamil Sebagai Penerbit, Pengarah & Pelakon

Penantian penonton untuk menyaksikan sekuel filem Remp-IT akhirnya bakal terlaksana dengan terhasilnya filem Remp-IT 2 yang akan menemui penonton pada 24 November ini di pawagam seluruh Malaysia.

Masih mengekalkan Farid Kamil sebagai tunjang utama membawakan watak Madi, pelakon berkenaan turut bertindak selaku pengarah dan penerbit di bawah syarikatnya, FKX Film Sdn. Bhd.

Farid berkata, dia mengambil masa selama 16 tahun untuk menerbitkan filem sekual ini disebabkan kekangan faktor kewangan memandangkan ia diterbitkan menerusi syarikat produksi miliknya.

“Mengenai masa yang diambil terlalu lama iaitu 16 tahun untuk sekual ini, ia disebabkan saya mahu mengumpul modal terlebih dahulu sebelum menerbitkan Remp-it 2.

“Tambahan pula, saya bukan sekadar berlakon tetapi turut menggalas tanggungjawab sebagai pengarah dan penerbit di bawah syarikat saya sendiri,” ujarnya.

Remp-IT 2 mengisahkan kesinambungan kehidupan Madi 16 tahun selepas kejadian yang menimpa Madi dan Spark dulu. Madi sekarang bekerja sebagai instructor di sebuah pusat latihan motosikal yang dimiliki oleh Roy dan mengusahakan bengkel bersama Macha.

Selepas kejadian itu, Madi sudah berazam untuk tidak berlumba dan meninggalkan dunia rempitnya. Kini Madi fokus sebagai pelumba professional. 

Sedang Madi cuba lari dari hakikat bahawa dia sudah kembali berlumba, muncul seorang kanak-kanak bernama Muhammad yang mengaku sebagai anak Madi.

Madi dan Macha hilang punca kerana tidak tahu siapa ibu Muhammad. Kemunculan Muhammad menambahkan beban dalam kepala Madi. Dia tidak pernah mendekati kanak-kanak dan kini terpaksa hidup bersama seorang kanak-kanak. 

Selain Farid, antara barisan pelakon yang turut berlakon dalam Remp-IT 2 adalah Cat Farish serta pendatang baharu Ahirine Ahirudin, Izzue Islam serta Niezam Zaidi yang membawakan watak Spark.

Bercakap lanjut mengenai Remp-it 2, Farid memberitahu menerusi filem ini, ia menampilkan adegan perlumbaan motosikal Asian Racing yang tidak pernah ada dalam mana-mana filem tempatan sebelum ini.

Ujarnya, penggambaran turut dibuat pada hari perlumbaan sebenar termasuk di Asia Racing di Litar Sepang dan Cub Prix Malaysia yang berlangsung di Terengganu.

“Lebih menarik kami menggunakan lebih 1,000 motosikal untuk penggambaran termasuk pelakon utama dan tambahan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Farid memberitahu filem itu sudah menjalani penggambaran pada 2019 selama 55 hari di sekitar Johor Bahru, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur dan Melaka. – KopiPlanet.com

The post Remp-IT 2 Akhirnya Terhasil Selepas 16 Tahun… Karya Pertama Farid Kamil Sebagai Penerbit, Pengarah & Pelakon appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.