Sharifah Amani Kini Sah Bergelar Isteri CEO Syarikat Impact Integrated
Dengan sekali lafaz, pelakon, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid, 36, sah bergelar isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Impact Integrated, Ahmed Faris Amir, 34, pada majlis tertutup di sebuah premis acara pada pukul 10.00 pagi tadi.
Pasangan tersebut dinikahkan Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara merangkap Penolong Pendaftar Nikah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee berwalikan bapa pengantin perempuan, Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin.
Pada majlis berkonsep rona putih dihadiri 200 tetamu itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 berserta lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang, tetapi jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.
Antara rakan yang hadir adalah Vanidah Imran, Bront Palarae, Iedil Dzuhrie Alaudin, Nadia Aqilah, Nadiya Nisaa, Sherry Alhadad dan Sangeeta Krishnasamy.
Tampil anggun mengenakan persalinan rona putih rekaan Tangsi Tujuh dan ditata rias adik bongsu, Sharifah Aryana, Sharifah Amani yang mesra disapa Nani, bersyukur perancangan hari bahagia sejak beberapa bulan lalu, lancar.
“Alhamdulillah…. di sebalik ujian pandemik Covid-19 melanda dunia sejak dua tahun lalu, akhirnya impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan.
“Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami sebagai pasangan suami isteri yang sah.
“Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami… Insya-Allah,” kata anak kepada pelakon dan guru lakon, Fatimah Abu Bakar ini.
Bercerita lebih lanjut tentang perkenalan, pasangan ini mula bertemu tiga tahun lalu ketika Sharifah Amani memikul tugas sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah organisasi diketuai Ahmed Faris.
“Bagaimanapun, tiga tahun lalu, kami bekerja atas paksi profesional… Belum ada rasa cinta.
“Dipendekkan cerita, selepas Covid-19, masing-masing solo. Cinta bertandang tanpa diduga hingga akhirnya kami diizinkan bertemu jodoh,” katanya.
Mengenai peribadi suami, Sharifah Amani tertawan dengan kebijaksanaan Ahmed Faris.
“Suami tangkas dalam setiap gerak-geri. Dia pandai dan bijak mengambil hati saya.
“Malah, pada masa sama, suami sering buat saya tergelak dan mudah terhibur. Apa yang buat kami serasi, dia adalah antara kawan lepak yang ‘sempoi’ dan terbaik,” katanya.
Mengenai bulan madu, pasangan ini belum merancang dan ditanya soal zuriat, Sharifah Amani dan suami tidak menolak rezeki andai dikurniakan cahaya mata pengikat kasih.
“Kami hendak selesaikan proses berpindah rumah selepas berkahwin. Kemudian, baik saya mahu pun suami, masing-masing sibuk dengan komitmen kerja.
“Mungkin apabila selesai kerja dan suami dapat cuti, kami boleh fikir perancangan spontan menghabiskan masa berdua. Kalau okay pun, mungkin akhir tahun ini,” katanya.
Jun lalu, Sharifah Amani yang meraih trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-19 melalui filem Gubra pada 2006, bertunang dengan Ahmed Faris.
Melalui hantaran Instagram (IG), Sharifah Amani berkongsi foto memaparkan cincin di jari manis dan kelibat jejaka dipercayai tunang di belakang. – KopiPlanet.com
The post Sharifah Amani Kini Sah Bergelar Isteri CEO Syarikat Impact Integrated appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: