Ads Top

Peserta Solo Zunny Jadi Mangsa Pertama Penyingkiran Saingan Awesome Raja Lawak

Pentas utama program pertandingan realiti komedi, Awesome Raja Lawak dibuka secara rasminya pada Rabu lalu dengan 14 peserta mempersembahkan sketsa terpadu masing-masing.

Menerusi tema ‘Bebas’, kesemua mereka yang terdiri dari peserta solo, duo dan trio telah menyampaikan persembahan terbaik walaupun ada di antara mereka yang kelihatan gugup dan gementar. 

Namun begitu, persembahan minggu pembukaan malam semalam ternyata tidak mengecewakan apabila penonton di studio dilihat tergelak besar dan terhibur dari satu persembahan ke persembahan yang seterusnya.

Peserta dari Johor, Kumpulan Sesah yang dianggotai oleh gandingan trio, Paan, Acap dan Alok berjaya memenangi hati juri dengan persembahan ‘Silent Comedy’ mereka.

Khir Rahman, Ayda Jebat dan Saiful Apek selaku Ketua Juri sebulat suara memilih Sesah sebagai juara minggu ini dengan memberikan mereka markah keseluruhan sebanyak 83%.

Kumpulan Soda, duo dari Kuala Lumpur, Danny dan Wan mengikuti dekat di kedudukan kedua dengan mendapat markah keseluruhan sebanyak 81%,manakala peserta solo dari Pulau Pinang, Azhar berada di nombor tiga dengan 74%. 

Kejutan buat semua terutamanya di kalangan peserta apabila Zunny, 27, peserta solo dari Pasir Mas, Kelantan diumumkan sebagai peserta sulung yang tersingkir di minggu pertama.

Jarang berlaku di mana-mana program pertandingan tempatan untuk peserta disingkir di minggu pembukaan, namun “Awesome Raja Lawak” ternyata berbeza apabila Khir, Ayda dan Apek bersepakat mengeluarkan Zunny dari program ini malam tadi. Zunny akur dengan keputusan ini apabila beliau hanya berjaya merekodkan sejumlah 38% markah keseluruhan. 

Minggu hadapan, 13 peserta akan mempersembahkan sketsa dengan tema “Viral / Trending”. Kita lihat bagaimana masing-masing berentap di minggu kedua, dan bagaimana pula dengan penerimaan barisan juri?

Adakah mereka akan lebih tegas atau masih memberi ruang untuk peserta membuat kesalahan? Siapakah pula yang akan tersingkir? Satu atau dua penyingkiran? Mungkin tiga? Kita nantikan pada minggu hadapan, Rabu, 14 September, 9.00 malam di platform Awesome TV di Astro saluran 123 dan MyTV saluran 112. – KopiPlanet.com

The post Peserta Solo Zunny Jadi Mangsa Pertama Penyingkiran Saingan Awesome Raja Lawak appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.