Ads Top

Lagu Goodbye Hello Nyanyian Syamel & Ernie Zakri Dinobat Lagu Terbaik AIM 23

Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23) menyaksikan lagu Goodbye Hello nyanyian Syamel & Ernie Zakri merangkul anugerah Lagu Terbaik pada acara yang diadakan di Wisma MBSA, Shah Alam malam tadi.

Dengan kemenangan tersebut, lagu ciptaan Ernie, Syamel Faizal Tahir dan Mike Chan itu membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM50,000.

Bagi kategori Album Terbaik pula, album Yonny (Deluxe Version) pula telah dipilih sebagai pemenang, sekaligus membawa pulang hadiah DKD sebanyak RM200,000.

Penyanyi yang mendapat pencalonan terbanyak iaitu enam untuk empat kategori dipertandingkan, Dayang Nurfaizah pula tidak pulang dengan tangan kosong sebaik lagunya, Tudung Periuk diangkat sebagai pemenang Rakaman Lagu Terbaik.

Sekaligus penghibur bervokal gemersik itu turut berpeluang menerima dana muzik sebanyak RM50,000.

Pengiktirafan untuk Artis Baru Terbaik diraih Vanessa Reynauld, 22, yang juga membolehkannya menerima DKD sama jumlah seperti Dayang iaitu RM50,000.

Video Muzik Terbaik yang berjaya dibolot Gatal nyanyian Janna Nick di bawah arahan Chuan Looi turut mendapat dana muzik sebanyak RM20,000.

Sementara itu, Ernie Zakri diiktiraf sebagai pemenang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi Sinar Mata selain Lagu Pop Terbaik bagi single Goodbye Hello bersama suaminya, Syamel.

Shila Amzah dan Liza Hanim yang mempertaruhkan lagu Bahagiakan Dia juga antara yang meraih kemenangan berganda menerusi Persembahan Vokal Duo/ Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu dan Runut Bunyi Terbaik. 

Dikendalikan trio sensasi, Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Azad Jasmin, malam penuh gilang gemilang itu mengangkat tema Glam & Sophisticated.

Antara barisan selebriti yang tampil memanaskan pentas dengan persembahan hebat seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Ella, Marsh Milan, Nikki Palikat dan Aina Abdul.

Terdahulu selepas lima tahun tertangguh, edisi ke-23 ini menerima 650 pencalonan awal untuk karya yang diterbitkan untuk tempoh satu setengah tahun bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022.

Daripada senarai berkenaan, selepas melalui tapisan ketat hanya 105 calon dapat bolos ke kerusi finalis untuk merebut trofi bagi 21 kategori yang dipertandingkan. – KopiPlanet.com

*Senarai Pemenang AIM 23

Artis Baru Terbaik – Vanessa Reynauld

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) – Arddley Nicholas (Pilu)

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) – Ernie Zakri (Sinar Mata Hati)

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan) – V.E (Tunggu)

Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu – Shila Amzah & Liza Hanim (Bahagiakan Dia)

Kulit Single/Album Terbaik – Adat Kasih (Ziha)

Video Muzik Terbaik – Gatal (Janna Nick)

Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama – Bahagiakan Dia (Shila Amzah & Liza Hanim)

Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik – Fun, Lust, Love (Late Night Frequency)

Lagu Inggeris Tempatan Terbaik – Game Of Charades (Sophia Zuhri)

Lagu Cina Tempatan Terbaik – With (Uriah)

Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara – Tak Ingin Usai (Keisya Levronka)

Lagu Rock Terbaik – Tugu Ugut (SOG)

Lagu Pop Terbaik – Goodbye Hello (Syamel & Ernie Zakri)

Lagu R&B/Hip Hop Terbaik – CHIO (Joe Flizzow)

Lagu Pop Etnik Terbaik – Adat Kasih (Ziha Salleh)

Lagu Nasyid Terbaik – Thank You Allah (Datin Alyah ft Cat Farish dan Ustaz Haris

Album Terbaik – Deluxe Version (Yonny Boii)

Lagu Terbaik – Goodbye Hello (Syamel & Ernie Zakri)

The post Lagu Goodbye Hello Nyanyian Syamel & Ernie Zakri Dinobat Lagu Terbaik AIM 23 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.