Kaka Azraff Jadi Artis Malaysia Kelapan Terpilih Hiasi Papan Billboard Di Times Square New York
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, begitulah terciptanya sejarah buat anak kelahiran Klang, Selangor iaitu Kaka Azraff apabila dipilih menghiasi papan ‘billboard’ gergasi di tengah-tengah kota raya New York yang bertempat di Times Square.
Ia menjadikan dirinya artis ke-8 dari Malaysia yang dipaparkan, malah Kaka juga baru sahaja melancarkan lagu terbarunya yang berjudul ‘HILANG’ pada bulan lepas.
Kaka telah dipilih sebagai ‘artis pilihan bulan ini’ menerusi program EQUAL Singapura & Malaysia yang memaparkan wajahnya menghiasi muka ‘playlist’ sekaligus terpampang pada papan ‘billboard’ di Times Square, New York sebagai wakil dari Singapura dan Malaysia.
“Saya rasa seperti bermimpi dapat menjadi sebahagian daripada program EQUAL oleh Spotify. Telah lama saya idamkan peluang sebegini kerana sering melihat wanita-wanita hebat dari Malaysia dipaparkan dan kini giliran saya pula.
“Semoga dengan pemilihan saya dapat memberi inspirasi kepada wanita-wanita muda di luar sana untuk terus mengejar mimpi kerana kita (wanita) mampu menggoncangkan dunia,” ujarnya.
Perjalanan seni Kaka bermula ketika dirinya masih muda lagi dengan mempelajari selok-belok industri muzik sejak kecil. Debut pertamanya bersama pelawak, hos TV dan penyanyi popular, Zizan Razak telah melonjakkan namanya.
Single keduanya berjudul ‘Bukan Hal Aku’ telah meraih jumlah tontonan sebanyak 10 juta sejak dilancarkan. Selain itu, Kaka juga turut terjun dalam bidang lakonan kerana bakat semulajadi yang dimilikinya.
Manakala pencapaian tertingginya dalam bidang muzik adalah apabila dinobatkan sebagai juara di pertandingan penuh berprestij Anugerah Juara Lagu ke-35 menerusi lagu ‘Gila’ bersama rapper Noki dan Loca B. – KopiPlanet.com
The post Kaka Azraff Jadi Artis Malaysia Kelapan Terpilih Hiasi Papan Billboard Di Times Square New York appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: