Ads Top

Pernah Positif Covid-19 Sampai Paranoid, Che Ta Pakai Busana ‘Patuh SOP’ Untuk Penjarakan Sosial Sewaktu Bergambar

Pernah disahkan positif Covid-19 baru-baru ini, pelakon popular Rozita Che Wan atau Che Ta mengakui dirinya berasa paranoid apabila dikelilingi ramai orang.

Che Ta berkata, perasaan sebegitu dirasainya kerana sudah melalui pengalaman kesakitan yang menjerihkan apabila dijangkiti virus berkenaan.

Oleh yang demikian, apabila diundang ke acara keramaian, dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan meminta pereka untuk mencipta busananya yang patuh SOP.

Jelas pelakon berkenaan, dia bimbang sekiranya ada yang terlupa untuk mempraktikkan penjarakan sosial semata-mata ingin bergambar dengannya.

“Boleh tengok rekaan pada bahu baju saya, fesyen ini bukanlah sekadar suka-suka, tetapi demi mengelakkan orang berhimpit-himpit dengan saya sewaktu bergambar,” katanya.

“Tidak mustahil akan berlaku di mana keadaan akan ada orang yang terlupa untuk mempraktikkan penjarakan sosial masa bergambar,” ujarnya.

Che Ta berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta kempen Jouls Luxe Fabrics for Rozita Che Wan sempena Hari Wanita Sedunia semalam.

Dalam pada itu, dia juga terpaksa mengambil langkah berhati-hati apabila meminta mereka yang berada di lokasi penggambaran untuk mematuhi SOP tanpa gagal.

“Sekiranya yang berada di lokasi penggambaran itu memang sudah buat ujian pengesanan Covid-19, saya akan pastikan mereka sentiasa memakai pelitup muka.

“Kalau belum tiba giliran dia untuk berlakon ketika itu, saya akan meminta pelakon berkenaan pakai pelitup muka jangan tanggalkan. Hanya tanggalkan sewaktu giliran dia untuk berlakon saja,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Jouls Luxe Fabrics, Johan Lim berkata, dia dan isterinya, Alia @ Seri Hadia memilih Che Ta menjadi duta kempen berkenaan bagi memberi inspirasi dan membantu golongan ibu tunggal.

“Menerusi 10 peratus hasil jualan, kami akan salurkan kepada ibu tunggal, itu misi kami iaitu untuk bantu mereka bangun dan teruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Alia pula menjelaskan menerusi 13 koleksi tudung yang dikeluarkan untuk edisi tersebut direka sendiri, ia merujuk pada personaliti Che Ta.

“Semua rekaan dibuat selepas menyelidik karakter Che Ta. Beliau ni nampak saja macam seorang diva, tetapi tidak selepas mengenalinya dengan lebih dekat.

“Dia seorang yang menepati masa selain bekerja dengan bersungguh-sungguh, tu sebab dia wajah yang sesuai mewakili jenama kami bagi kempen sambutan Hari Wanita Sedunia hari ni,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Pernah Positif Covid-19 Sampai Paranoid, Che Ta Pakai Busana ‘Patuh SOP’ Untuk Penjarakan Sosial Sewaktu Bergambar appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.