Ads Top

Gadis Jolobu The Movie Jadi Karya Pertama Sempena Perjanjian Usahasama Zebra Studio & Tremendous Entertainment

Sempena perjanjian usaha sama ‘multi-movie’ antara Zebra Studio Sdn Bhd dan Tremendous Entertainment dengan komitmen untuk menerbitkan bersama 12 filem dalam tempoh 24 bulan akan datang, Gadis Jolobu The Movie menjadi filem dialek pertama yang dihasilkan.

Pengarahnya, CL Hor berkata, filem berkenaan merupakan antara karya berteraskan dialek Malaysia yang memberi tumpuan kepada budaya dan tradisi Minangkabau dari Negeri Sembilan.

“Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan bakat baharu bersama pelakon Otai terkenal tempatan yang kami ketengahkan bagi menyokong filem dialek glokal ini.

“Gadis Jolobu ialah sebuah filem budaya yang sangat berwarna-warni dengan sinematografi etnik persekitaran kampung ditambah pula dengan komedi dan aksi komedi untuk mempamerkan sebahagian daripada Malaysia kepada dunia,” ujarnya yang juga pengasas Zebra Studio.

Sudah memulakan penggambaran pada 2 Mac 2022 lalu, ia membariskan pelakon dan penyanyi Datuk Hattan, bersama Joey Daud dan Khir Rahman merupakan pelakon utama filem ini bersama-sama Ahirine Ahirudin yang membuat debut pertamanya sebagai pelakon utama filem ini.

Gadis Jolobu The Movie memaparkan kisah komedi tentang tiga bujang terlajak yang sangat rapat sejak kecil, dalam usaha untuk mencari jodoh masing-masing di kampung halaman mereka.

Sumpahan ‘Lambat Sunat, Lambatlah kahwin’ sering bermain difikiran membuatkan mereka berusaha untuk mencari jodoh mereka walaupun menghadapi pelbagai dugaan.

Filem ini turut mengetengahkan beberapa elemen “adat pepatih” dan keunikan budaya Minangkabau masyarakat setempat di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengerusi Tremendous Entertainment, Datuk Jared Lim berkata, pihaknya berbesar hati untuk memulakan 12 ‘multi-movie’ dengan filem berteraskan dialek Malaysia yang memberi tumpuan kepada budaya dan tradisi orang Minangkabau dari Negeri Sembilan.

“Dengan gabungan penyayi, pelakon dan pelawak terkenal ini, kami berharap dapat membawa keceriaan dan gelak ketawa kepada semua rakyat Malaysia terutamanya selepas kita semua melalui masa yang sukar melalui wabak pandemic ini.

“Sudah tentu, kami juga teruja memberi peluang kepada artis yang baru dan memberikan mereka peluang untuk mempamerkan bakat mereka dalam industri hiburan”, jelasnya.

Pengasas Bersama Zebra Studio dan Penerbit Eksekutif Saraleana Nattaya Azmi menambah “Ia memang menarik untuk memulakan filem dialek pertama kami dalam 12 ‘multi- movie’ yang kami hasilkan dan tidak sabar untuk melihat gabungan bakat yang berpengalaman dan bakat baharu beraksi bersama.

“Objektif kami adalah untuk mengembangkan industri dengan mewujudkan lebih banyak platform untuk menunjukkan bakat dan benar-benar mempamerkan kemahiran mereka, untuk menarik perhatian penonton Malaysia dan juga kepada penonton Antarabangsa, “Gadis Jolobu The Movie” adalah permulaan yang baik untuk visi kami untuk mengglokalkan kandungan Malaysia.” – KopiPlanet.com

The post Gadis Jolobu The Movie Jadi Karya Pertama Sempena Perjanjian Usahasama Zebra Studio & Tremendous Entertainment appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.