Ads Top

500 Booth Dibuka Sempena Cahaya Festira Festival Ramadan Selangor 2022, Jadi Pemacu Rancakkan Semula Sektor Perniagaan

SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan Festival Ramadan Selangor, menjadikannya pusat atau lokasi membeli-belah yang wajib dikunjungi setiap kali menjelangnya Ramadan dan Aidilfitri.

Dianjurkan oleh PKNS Real Estate (PREC), Festival Ramadan Selangor atau ringkasnya dipanggil FESTIRA merupakan festival tahunan yang direka khusus bagi menyokong agenda kerajaan negeri dalam usaha membantu usahawan kecil sederhana dan pengusaha tempatan. Ia dikatakan sebagai Festival Ramadan terbesar di Malaysia, yang menyasarkan 3.5 juta pembeli sebelum era pandemik.

Memasuki fasa peralihan ke endemik bermula April ini, PREC menyifatkan FESTIRA’22 mampu menjadi pemacu dalam merancakkan semula sektor perniagaan yang telah tiga tahun suram. Justeru, tema “Cahaya FESTIRA” menjadi pilihan FESTIRA tahun ini demi menyokong usaha negara dalam mencapai sasaran keseimbangan di antara kelangsungan ekonomi seiring dengan kesihatan awam.

Sejarah membuktikan bahawa, FESTIRA sememangnya memainkan peranan yang amat signifikan terhadap peningkatan sosioekonomi rakyat terutamanya, dari segi penyediaan peluang pekerjaan dan perniagaan. Di mana secara tidak langsung, ia turut membantu golongan sasaran meningkatkan pendapatan. Apa yang penting, FESTIRA berjaya melahirkan komuniti usahawan yang dapat dibanggakan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn. Bhd (PREC), Sr. Fakru Radzi Ab. Ghani berkata, keterbukaan FESTIRA’22 kali ini membolehkan lebih 500 peniaga menjalankan perniagaan mereka. Dari booth yang menjual pelbagai pilihan busana untuk persiapan Aidilfitri, sehinggalah Bazar Ramadan yang menyajikan pelbagai pilihan juadah untuk berbuka puasa bermula 3 April nanti.

Menurut beliau, seperti tahun-tahun sudah, FESTIRA kali ini masih mengekalkan persembahan artis jemputan – buat halwa telinga pengunjung ketika membeli- belah. Antara barisan artis yang bakal menghiburkan adalah, Haiza, Nomad, Syafiq Naseer, Syahmi Irfan, Aliff Iskandar dan Aufahanie. Juga dibawakan, persembahan seni dan budaya oleh pelajar universiti tempatan.

Cuma bezanya, selepas mengambilkira keadaan semasa, lokasi acara pentas telah ditukar ke pentas utama yang didirikan di tapak terbuka di luar SACC Mall, atau lebih dikenali sebagai Dataran Barat.

Bersesuaian dengan bulan beribadah, FESTIRA’22 turut membawakan ceramah hujung minggu yang akan disampaikan oleh pendakwah dan juga personaliti TV terkenal seperti Ustaz Safwan Idris dan Imam Muda Nazrul. Kedua figura ini juga sering dilihat memberi tazkirah di kebanyakan acara rasmi dan tidak rasmi, menjadikan mereka antara celebrity ustaz yang mempunyai jumlah pengikut yang tinggi di media sosial.

Menariknya lagi, FESTIRA’22 bakal menampilkan adik Qalif Nasurdin, seorang tahfiz berusia 13 tahun, yang sedang menuntut di Maahad Tahfiz Ibnu Sina, Kulim, Kedah. Kebolehan menghafal Al-Quran dari usia yang sangat muda, membuatkan beliau sering diundang ke acara ilmu sejak kecil lagi. Adik Qalif bakal melantunkan ayat- ayat suci Al-Quran di pentas utama SACC Mall Shah Alam pada setiap hari Sabtu sebelum berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.

Tidak ketinggalan, aktiviti untuk si kecil. Buat para ibu, anak-anak mereka bakal dihiburkan dengan penampilan badut belon atau lebih dikenali sebagai ballonist clown yang akan mewarnai sesi petang di pentas utama setiap Sabtu bermula jam 3.00 petang hingga 5.00 petang. Belon akan diberikan secara percuma kepada 150 kanak-kanak yang berada di sekitar Cahaya FESTIRA’22 di SACC Mall dan Kompleks PKNS Shah Alam.

Sementara itu, di PKNS Bangi, pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan Buskers Kerohanian yang diadakan setiap petang, bermula 8 Mac lalu dari jam 5.00 petang hingga 9.00 malam.

“PREC juga terus kekal dengan aktiviti kebajikan sepanjang Ramadan melalui kolaborasi bersama syarikat rakaman terpilih untuk beberapa Majlis Berbuka Puasa bersama NGO yang bakal diumumkan kelak. Selain itu, acara turut bertujuan mempromosikan produk selebriti syarikat terbabit, dalam masa yang sama menyerikan majlis dengan persembahan mereka”.

“Menariknya FESTIRA’22 kali ini, lebih banyak aktiviti seperti pertandingan, ganjaran dan cabutan bertuah menanti pengunjung dengan pelbagai tawaran hadiah yang menarik! Selain itu, kesemua ciri-ciri tradisi festival ini seperti program bubur lambuk, kaunter zakat dan wakaf, serta penyediaan ruang solat yang besar dan selesa termasuk solat tarawih masih diteruskan,” ujar beliau. – KopiPlanet.com

The post 500 Booth Dibuka Sempena Cahaya Festira Festival Ramadan Selangor 2022, Jadi Pemacu Rancakkan Semula Sektor Perniagaan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.