Ads Top

Zulin Aziz Bertunang Dengan Rakan Kongsi Perniagaan, Dilamar Ketika Mengerjakan Ibadah Umrah

Setelah dua tahun saling mengenali dan menjalinkan hubungan cinta termasuk sebagai rakan kongsi perniagaan, pengacara dan pelakon Zulin Aziz telah sah menjadi tunang kepada Farhan Norzaini.

Zulin atau pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz itu, dia dan pasangannya sepakat memilih melangsungkan pertunangan selepas pulang dari mengerjakan ibadah umrah hujung tahun lalu.

“Alhamdulillah, Farhan melamar saya ketika berada di Madinah. Kami sebenarnya sudah lama merancang dan akhirnya Allah memperkenankan doa saya ketika berada di Tanah Suci.

“Majlis pertunangan pula diadakan serba ringkas dan atas permintaan keluarga kami hanya menjemput keluarga terdekat sahaja demi menjaga prosedur operasi standard ( SOP),” ujarnya.

Majlis diadakan secara tertutup dan sederhana selain dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak di kediaman abang Zulin di Segambut Dalam, di mana Zulin turut menerima dua bentuk cincin (merisik dan bertunang) daripada tunangnya.

Bercerita lebih lanjut tentang Farhan yang telah berjaya memenangi hatinya sehingga terbuka hati untuk memilih lelaki itu sebagai teman sehidup semati, dia percaya Farhan mampu membimbingnya ke jalan yang diredai.

“Farhan seorang yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga. Dia juga seorang pendengar yang setia dan saya selesa bersama dengannya dan boleh meluahkan apa sahaja kepadanya,” Katanya.

Sementara itu, Farhan menyifatkan Zulin sebagai seorang yang mempunyai hati yang tulus dan ikhlas serta pandai mengambil hati keluarganya.

“Dia berada bersama saya di saat saya mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika saya kehilangan arwah ibu pada Oktober tahun lalu.

“Disitu saya tahu bahawa dialah wanita yang saya mahu sehidup semati. Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah menjaga saya. Dan Zulin ada ciri-ciri itu,” kongsinya.

Menyingkap kembali momen saat pertama kali mereka berkenalan, kata Farhan dia yang memberanikan diri menghantar mesej kepada Zulin menerusi Instagram (IG) selepas menonton rancangan Melodi di TV3.

“Waktu itu saya sedang menonton rancangan Melodi bersama arwah ibu. Kebetulan ada paparan cerita Zulin tak jadi kahwin. Lepas tu arwah ibu cakap dia rasa kasihan dengan Zulin. Malah tak semena mena, arwah ibu tiba-tiba cakap tak kisah andai Zulin menjadi menantunya.

“Seterusnya, adik saya yang mendesak supaya mengirimkan mesej langsung kepada Zulin di IG. Saya memberanikan diri dan tak sangka dia membalas mesej. Masa itu saya fikir tak mungkin Zulin membalas mesej itu kerana saya hanya orang biasa di antara jutaan pengikutnya yang lain,” kata Farhan.

Pasangan tersebut menetapkan tempoh kurang dari sebulan untuk ikatan pertunangan dan merancang untuk berkahwin pada 20 Februari ini. – KopiPlanet.com

Foto Ihsan: Kahnz Photograffiti/ Jimmy Kamarudin

The post Zulin Aziz Bertunang Dengan Rakan Kongsi Perniagaan, Dilamar Ketika Mengerjakan Ibadah Umrah appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.