Ads Top

Yayasan Metamorphosis Beri Sumbangan Kepada Beberapa Artis Yang Terkesan Akibat Banjir Menerusi Misi Jiwa Prihatin

Sikap prihatin yang dimiliki rakyat Malaysia membuatkan pelbagai pihak termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan individu dan perseorangan terus mencurah bakti dengan menghulurkan bantuan dalam usaha meringankan beban ditanggung mangsa banjir akibat bencana alam yang menimpa sekitar Selangor dan Pahang, baru-baru ini.

Tidak ketinggalan Yayasan Metamorphosis bersama pasukannya yang turut serta dalam menjalankan Misi Jiwa Prihatin bagi membantu mangsa banjir.

Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Aliff Zain berkata, dia dan pasukannya agak terlewat menghantar bantuan disebabkan menjalani tempoh kuarantin berikutan menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

“Habis sahaja tempoh kuarantin, saya terus mempersiapkan pasukan untuk turun padang bagi menghulurkan bantuan. Dari segi dana, Yayasan Metamorphosis tidak kutip mana-mana sumbangan, ini hasil pendapatan perniagaan yang disalurkan kepada yayasan ini.

“Kami melawat bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin di Banting, Selangor, kemudiannya ke rumah penyanyi Ezad Lazim di Kota Warisan, Sepang. Seterusnya, kami menjengah bekas pemain bola sepak negara, Azman Adnan dan isterinya iaitu As Feminin, penyanyi otai, Yantzen dan pemain bass kumpulan Damasutra, Amran di sekitar Hulu Langat.

“Sepatutnya, kami singgah ke rumah pelawak, Ebby Yus di Hulu Langat, tetapi saya dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital,” ujarnya.

Jelas beliau, Misi Jiwa Prihatin itu turut menghulurkan bantuan kepada individu lain yang menjadi mangsa banjir, bukan hanya golongan selebriti,” katanya.

Aliff yang juga usahawan dari Pulau Pinang berkata, secara kasar, Yayasan Metamorphosis memperuntukkan antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi Misi Jiwa Prihatin di seluruh Malaysia.

Bukan hanya menyediakan sumbangan berbentuk wang ringgit, malah, pelbagai barangan elektrik seperti mesin basuh, peti ais dan katil. Ini termasuk juga keperluan asas seperti pinggang mangkuk, dapur dan sebagainya.

“Misi Jiwa Prihatin bermula ketika banjir besar di seluruh Malaysia pada 2014, malah saya sendiri yang turut turun padang agak sedih dengan nasib menimpa mangsa banjir. Saya lihat mereka perlu memulakan kehidupan baharu, ada yang sehelai sepinggang, tak kira kaya atau miskin.

Jadi, dari situ, kami meneruskan Misi Jiwa Prihatin tahun demi tahun. Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia menghulurkan sumbangan membantu mangsa banjir bukan hanya kejadian tahun ini, tetapi juga pada masa akan datang,” katanya.

Aliff berkata, dia juga mengalu-alukan sukarelawan yang menyertai Yayasan Metamorphosis, mereka boleh menghubungi kami menerusi Facebook Yayasan Metamorphosis.

“Pada hari ini Yayasan Metamorphosis bekerjasama dengan rider penghantar makanan. Bukan sahaja bangsa Melayu, malah Cina dan India turut berganding bahu membantu mangsa banjir,” katanya.

Sementara itu, As Femini menyatakan dirinya berbesar hati apabila Presiden Yayasan Metamorphosis itu datang untuk menghulurkan bantuan.

“Terima kasih dengan sumbangan yang diberikan, semoga Allah membalas jasanya membantu mengurangkan bebanan saya sekeluarga. Saya tak boleh agak anggaran kerugian. Tetapi, apa yang boleh saya cakap kena bermula dari kosong semula. Bukan hanya semua barang elektrik rosak, malah, lantai pun pecah.

“Ia seperti membina rumah baharu. Satu rumah pula kena buat wiring semula. Memang saya amat terkesan, tetapi, saya nak ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sangat prihatin dan tidak berkira. Bila berlaku bencana ini, barulah saya nampak rakyat Malaysia sangat bersatu dan bermurah hati, tak kira apa bangsa dan agama. Saya memang respek pada masyarakat majmuk kita,” katanya.

Seorang lagi penerima bantuan iaitu Ezad Lazim menyatakan ia pengalaman kali pertama dia berdepan musibah banjir sejak pindah ke rumah sendiri di Kota Warisan, Sepang.

Ujarnya, barang koleksi peribadi yang disimpannya telah musnah dan rosak dan dia memang suka menyimpan barang-barang yang ada nilai sentimental.

“Saya simpan koleksi CD dan VCD original dari penyanyi yang saya minat. Saya kumpul dari zaman muda. Ini termasuklah koleksi gambar saya dengan bekas kumpulan dan alatan muzik seperti gitar. Ada antaranya saya simpan dan tidak pernah guna.

“Namun, agak sedih alatan muzik artifak arwah bapa tidak boleh diselamatkan. Apapun yang yang penting adalah nyawa. Alhamdulillah, isteri dan anak-anak berada dengan saya ketika banjir, jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan sangat,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Yayasan Metamorphosis Beri Sumbangan Kepada Beberapa Artis Yang Terkesan Akibat Banjir Menerusi Misi Jiwa Prihatin appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.