Ads Top

Farisha Iris Elak Lakukan Gimik Murahan Semata-Mata Untuk Popularkan Lagu Baharu

Pemilik nama Farisha Iris ini tidak pernah jemu untuk memperkenalkan bakat nyanyian yang dimiliki kerana itu adalah minat dan sudah sebati dalam dirinya.

Seperti mana tingginya cita-cita yang ingin digapai, begitu juga besarnya harapan Farisha atau pemilik nama sebenar Farisha Asmadi untuk terus memperjuangkan muzik dan kerjaya seninya.

Pun begitu, laluan Farisha bukan mudah biarpun sudah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian termasuk program realiti Big Stage musim ketiga yang lalu. Bagi Farisha, dia tetap berpegang pada prinsip yang mana tidak akan berputus asa.

Termasuk juga apabila bercakap soal sengaja mencipta gimik murahan semata-mata bagi mempopularkan lagu dan diri mereka. Farisha mengakui, itu bukan cara yang sepatutnya diambil seseorang penyanyi selain tidak gemar dengan pendekatan itu.

“Kalau gimik daripada pandangan netizen, mereka cepat percaya dan suka dengan ‘drama’ yang hebat. Sekaligus, dapat menarik perhatian dan promosi percuma. Sudah pasti perkara itu dapat menaikkan nama.

“Namun, dari pandangan saya sebagai penyanyi, saya tidak gemar untuk melakukan sebarang gimik. Biarlah setiap apa yang dihasikan itu secara semula jadi selain dapat menarik perhatian umum dengan sendirinya. Walaupun, sambutan tidak sehebat yang ada gimik tapi itu lah kenyataan,” katanya.

Menurut Farisha, dia punya pendekatan supaya lagu dan nama bergerak seiring tanpa perlu melalui satu fasa yang mana harus berdepan kecaman orang ramai atau netizen terlebih dahulu.

“Pendekatan saya supaya orang sayang dan hargai bakat saya adalah kena letakkan usaha yang lebih dari segi bakat, dari segi pemilihan lagu dan tambahkan pengalaman dalam industri. Sekarang, saya terfikir juga untuk teruskan ambil kelas vokal supaya makin bertambah baik.

“Mungkin, saya juga kena cuba bakat lain selain menyanyi iaitu berlakon atau mengacara, mana tahu. Sebab kita tak tahu pada akhirnya nanti apa yang sesuai dan sebati dengan diri sendiri. Andai kata saya tidak ada rezeki dalam nyanyian, tidak raih ramai pendengar, saya terbuka untuk cuba bidang lain,” katanya.

Terbaharu, selepas muncul dengan Hello pada awal tahun ini, Farisha melancarkan pula single Baek yang turut berkolaborasi dengan rapper Alan D.

Lagu ciptaan komposer Mingaling dan lirik oleh Amir Hasan ini adalah terbitan syarikat rakaman 17 Eleven Music yang dilancarkan secara rasmi pada 2 Januari 2022 yang lalu.

“Pada awal 2021, saya sudah ulang alik ke studio Mass Music untuk lebih kenal dengan komposer dan penulis lirik lagu Baek. Lagu ini mengisahkan seorang wanita yang inginkan kejujuran lelaki itu dan mencari lelaki yang setia. Apabila mereka sudah bersama, wanita ini minta lelaki itu menjaga dirnya dengan baik, setia dan gembira. 

“Cabaran merakamkan lagu ini adalah, saya kena sesuaikan diri dengan genre pop, sebab bunyi lagu ini sangat urban dan lebih kepada penceritaan. Walaupun, bunyi macam senang nak nyanyi, tapi saya berasakan ada cabaran dari segi vokal. Nak rakam dalam studio agak susah, kena ada stamina dan teknik vokal yang baik. Apatah lagi menyanyi secara langsung. 

“Ini kerana saya utamakan pandangan penyanyi senior dalam industri untuk mendengar muzik dan vokal yang berkualiti. Dalam masa sama, pendengar pun menjadi keutamaan saya, sebab siapa lagi yang akan menyokong bakat saya kalau bukan mereka,” katanya.

Mengenai genre lagu Baek itu, Farisha berkata dia kagum dengan melodi yang dihasilkan.

“Pertama kali mendengar demo lagu ini, saya sudah mula kagum dengan melodi dan gubahan lagu ini. Sudah tentu disebabkan genre juga. Jadi, saya sudah mula untuk mencuba dekatkan diri dengan genre pop yang ada bahagian rap. 

“Saya juga tertarik dengan idea ‘feat’ atau berkolaborasi bersama penyanyi rap. Sebab saya sangat berbesar hati untuk ada pengalaman ‘featuring’ dengan mana mana penyanyi. Kiranya macam, saya dapat peluang baru dan juga memberi peluang pada untuk penyanyi baru atau lama untuk melebarkan lagi bakat masing masing,” katanya.

Dalam masa sama, Farisha berkata genre lagu Baek bukan mudah untuk dinyanyikan.

“Apa pun genre lagu bukan mudah untuk dinyanyikan. Tahap kesukaran lagu ini berbanding lagu sebelum ini tak banyak beza. Saya berasakan ada baiknya cuba kuasai genre yang ringan sebelum nak bawa  genre yang lebih berat macam balada yang mana nak rakam dalam studio agak susah, kena ada stamina dan teknik vokal yang baik. Saya tak nak menyanyi asal boleh dan sedap ditelinga sendiri,” katanya.

Ditanya berkenaan kolaborasi dengan rapper Alan D, menurut Farisha dia teruja apatah lagi pernah mendengar lagu nyanyian Faizal Tahir bersama Alan D.

“Apabila kali pertama saya diberitahu dapat ‘featuring’ dengan Alan D, secara automatik saya teringat lagu Alan D bersama Faizal Tahir iaitu Luka Hati. Macam kebetulan sebab saya suka mendengar lagu itu. Tambahan lagi, saya juga teruja apabila dapat tahu lagu Baek ini ada bahagian. Jadi, ini satu peluang yang besar untuk saya dan Alan D untuk menghiburkan dan hargai bakat yang kami ada.

“Jadi, harapan saya untuk single terbaru ini agar ia mendapat maklum balas dan sambutan yang baik dari semua peminat saya dan pendengar. InsyaAllah saya akan terus menghiburkan semua orang,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Farisha Iris Elak Lakukan Gimik Murahan Semata-Mata Untuk Popularkan Lagu Baharu appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.