Ads Top

Akur Dengan Perintah Suami, Akhirnya Ellie Suriaty Sudah Ambil Suntikan Vaksin

Akur dengan perintah suami tercinta, pengarah dan pelakon popular Ellie Suriaty memaklumkan dirinya sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19. 

Elly atau pemilik nama sebenar Ellie Suriaty Omar berkata, dia sudah lengkap divaksin sekitar hujung November lalu dan dia melakukannya akur dengan perintah suaminya, Azri Iskandar. 

“Saya sudah ambil vaksin Sinovac kerana Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kan ambil vaksin berkenan. Jadi, kita ikut sahaja Menteri Kesihatan lah. 

“Saya ambil dos pertama pada lewat Oktober dan kemudian dos kedua (November). Saya dapat tawaran bekerja di Sarawak. Orang yang dah vaksin ke atau antivaksin, tiada siapa nak dijangkiti Covid-19. 

“Jadi, masing-masing pun dia ada dia punya cara-cara pencegahan. Begitu juga saya semasa belum divaksin. Saya tak pernah kena Covid sebab saya buat langkah pencegahan,” katanya.

Ellie berkata demikian ketika ditemui sebaik sahaja selesai sidang media pelancaran filem Telaga Suriram di The Majapahit Restaurant, Mont Kiara, Damansara. 

Ujar Ellie, hatinya tergerak untuk mengambil vaksin Covid-19 disebabkan tidak mahu ingkar dengan perintah suami tersayang.

“Saya ambil vaksin sebab Azri Iskandar. Dia dah bagi saya masa hampir dua tahun untuk meluahkan apa yang patut diluahkan (tentang vaksin Covid-19). 

“Suami ada beritahu yang dia dah beri saya masa dua tahun dan sudah tiba masanya untuk saya ‘to call it quits’ (berhenti).

“Azri suami saya dan selagi dia masih lagi suami dan dia dah bagi saya tempoh (buat pertimbangan vaksin). Dia respek saya punya pendirian. 

“Jadi, sudah tiba masanya saya kena ikut cakap suami. Sejujurnya, memang berperanglah sekejap dalam diri cakap ‘taknak vaksin’ tapi dia suami saya dan saya sangat menghormatinya.

“Apapun yang berlaku kepada diri saya dan anak-anak, dia yang kena tanggunglah,” ujarnya. 

Sementara itu, Ellie menafikan sekeras-kerasnya tentang dirinya merupakan seorang antivaksin seperti yang dianggap segelintir pihak.

“Kalaulah saya ni seorang anti vaksin, dari dulu saya takkan cucuk apa-apa vaksin pun. Lagipun apa yang saya persoalkan tentang vaksin Covid-19 ini adalah tentang keberkesanannya kerana dibuat secara terburu-buru,” ujarnya. 

Sebelum ini, Ellie merupakan antara selebriti tempatan yang lantang menolak suntikan vaksin termasuk untuk kedua-dua anak mereka yang berusia 17 dan 12 tahun atas faktor keselamatan dan kesihatan.

Pun begitu, dalam kelantangan menolak suntikan vaksin Covid-19, suami Ellie iaitu Azri akhirnya kecundang apabila dalam diam-diam selesai menerima dua dos suntikan vaksin demi tuntutan pekerjaan sekitar September.

Pasangan selebriti berkenaan turut mencetuskan kontroversi apabila membuat laporan polis pada 30 Ogos lalu untuk menolak suntikan vaksin bagi pelajar sekolah yang diwajibkan pihak kerajaan. – KopiPlanet.com

The post Akur Dengan Perintah Suami, Akhirnya Ellie Suriaty Sudah Ambil Suntikan Vaksin appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.