Ads Top

Tiga Tahun Menyulam Kasih, Sweet Qismina & Adam Lee Akhirnya Bertunang

Setelah tiga tahun menyulam kasih, pasangan pelakon popular Sweet Qismina dan Adam Lee akhirnya telah mengikat tali pertunangan.

Majlis yang berlangsung semalam di sebuah rumah persendirian di Ampang dihadiri 20 orang tetamu dalam kalangan ahli keluarga masing masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Bertemakan putih dan songket, majlis pertunangan berganda kemanisan kerana Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi turut menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-24.

Masing-masing yang turut menjadi calon top 5, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 memuat naik gambar pertunangan di Instagram.

“Ini bukan babak penggambaran drama, tapi memang kami betul betul bertunang. Kebetulan ia terjadi ketika perang kempen ABPBH 34 sedang berlangsung. Ia jauh sekali gimik, tapi sebenarnya rezeki.

“Lagipun peminat kami sudah lama menanti ada ikatan terjalin. Begitu juga peminat dari Indonesia yang bertalu talu tanya ‘kapan’ (bila) mahu ada ikatan sah. Jadi ini sebagai mukadimah sebelum kami melangkah ke fasa seterusnya,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Sweet menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Adam dan mereka akan bertunang selama setahun.

Dalam pada itu, Sweet yang juga calon Top 5 kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama kekasihnya dalam drama Bidadari Salju itu majlis berkenaan sudah dirancang lama.

“Perancangan atau keputusan nak kahwin bila belum ada lagi. Kita selesaikan yang ini (bertunang) dulu.

“Lagipun, sektor kreatif sudah kembali aktif selepas kerajaan melonggarkan SOP. Jadi ini juga masa untuk kami bekerja semula,” katanya.

Hubungan pasangan ini dikatakan mekar selepas Sweet mempelawa Adam menemaninya ke ABPBH 31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ia juga kebetulan selepas mereka selesai penggambaran drama, Adam Chempaka. – KopiPlanet.com

The post Tiga Tahun Menyulam Kasih, Sweet Qismina & Adam Lee Akhirnya Bertunang appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.