Ads Top

Lepas Seminggu Bersalin, Siti Nurhaliza Lancar Single Anakanda Ciptaannya Untuk Cahaya Mata Kedua

Sebelum ini, lagu Comel Pipi Merah menjadi sebuah lagu trending pada tahun 2018 selepas penyanyi Datuk Sri Siti Nurhaliza mengabadikan lagu ciptaan beliau untuk anak yang sedang dikandung ketika itu iaitu Siti Aafiyah.

Kini, umum sudah mengetahui bahawa Siti telah selamat melahirkan anak kedua pada 19 April lalu dan turut mencipta sebuah lagu berjudul Anakanda yang dituju khas buat puteranya.

Lagu Anakanda dimuatkan di dalam album kanak-kanak klasik, Legasi yang dilancarkan pada 1 April lalu.

Menariknya, lagu ciptaan Siti sendiri dan lirik oleh Rozisangdewi merupakan sebuah lagu yang berunsurkan rentak inang.

Siti berkata, beliau mencipta lagu Anakanda ketika sedang mencari ilham sebuah lagu khas untuk anak yang bakal dilahirkan dan memilih rentak inang bagi menyesuaikan dengan konsep keseluruhan album lagu kanak-kanak berkenaan yang diterbitkan oleh Pown Hasril.

”Lagu Anakanda ini merupakan lagu paling akhir saya rakamkan untuk album Legasi.

“Apabila memutuskan untuk memasukkan lagu Comel Pipi Merah ke dalam album Legasi, saya terfikir untuk mencipta sebuah lagu khas dan baharu buat anak yang bakal lahir,” jelasnya.

Tambah beliau, Anakanda menggambarkan harapan ibu bapa terhadap jati diri anak lelaki serta mahu menerapkan sisi bertanggungjawab terhadap orang sekeliling.

”Melagukan lirik yang positif, bermoral dan menerapkan asas yang baik juga membantu perkembangan minda anak-anak.

“Anakanda bukan sahaja bentuk harapan yang dilagukan oleh saya tetapi harapan setiap insan yang memiliki cahayamata,” katanya.

Album Legasi diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd dan edaran digital oleh Universal Music Malaysia.

Sementara itu, Siti juga telah menyiapkan video muzik lagu Anakanda dan bakal disiarkan secara rasmi di saluran YouTube Siti Nurhaliza pada hari hari ini (26 April) pukul 9 malam. Video muzik ini mendapat tajaan dan kerjasama daripada syarikat Cuckoo.

Saluran youtube Siti Nurhaliza juga turut melancarkan peraduan khas sempena single terbaharu ini dan akan diumumkan pada hari ini. – KopiPlanet.com

The post Lepas Seminggu Bersalin, Siti Nurhaliza Lancar Single Anakanda Ciptaannya Untuk Cahaya Mata Kedua appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.