Ads Top

Sempena Ulang Tahun Ke-25 Dalam Industri Seni, Siti Nurhaliza Kini Tampil Dengan Album Legasi

Tanggal 1 April ternyata cukup bermakna apabila bermula penglibatan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam industri seni tanah air setelah melahirkan album sulung berjudul ‘Siti Nurhaliza’ pada 1 April 1996.

Sempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 di persada muzik, beliau yang kini sedang sarat hamil anak kedua tampil dengan sebuah album khusus yang mengandungi lagu kanak-kanak berjudul Legasi.

Siti berkata, penerbitan album kanak-kanak ini merupakan usaha beliau bagi melestarikan lagu kanak-kanak klasik supaya terus diingati dan menjadi warisan generasi akan datang.

“Sebagai penyanyi yang telah bergelar ibu, saya berpendapat lagu atau muzik kanak-kanak mempunyai impak positif bagi membantu perkembangan dan pembelajaran. Kanak-kanak dilihat lebih cepat dan peka mempelajari bahasa,kreativiti, motivasi dan tunjuk ajar.

“Apa yang penting adalah mesej yang kita sampaikan di dalam sesebuah lagu . Anak-anak ini akan cepat belajar dan memahami, justeru dalam lirik lagu kanak-kanak termasuk olahan lirik terbaharu, saya memberikan mesej yang baik serta berguna,’’ ujar beliau.

Album terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. diterbitkan secara digital dan juga album fizikal. Bermula 1 April, para pencinta muzik dan peminat boleh mendapatkan album penuh di seluruh platform digital dan pihak SNP memberikan kepercayaan kepada syarikat Universal Music Sdn. Bhd sebagai pengedar.

Manakala album fizikal atau CD pula boleh dilanggan di platform snp.onpay.my atau menerusi Affiliate SNP yang sah.

Bagi penerbitan album yang ini, beliau telah memberi kepercayaan kepada penerbit muda, Pown Hasril bagi memberikan sentuhan baharu dan segar untuk keseluruhan lagu yang ditampilkan.

Pada masa sama, Siti Nurhaliza juga sempat menyiapkan dua buah muzik video sebelum berehat untuk persediaan melahirkan dan berpantang.

Video muzik lagu Medley Klasik Siti 1 akan dilancarkan pada jam 9 malam, 1 April (hari ini) di saluran YouTube Siti Nurhaliza. Video muzik ini mendapat kerjasama daripada syarikat Beausiti dan Wonderlab.

Sebuah lagi video muzik ialah menerusi lagu ciptaan Siti untuk anakanda yang bakal lahir yang diberi judul Anakanda. Video muzik untuk lagu ini mendapat tajaan syarikat Cuckoo dan akan dilancarkan pada bulan April juga.

Single Medley Klasik Siti 1 merupakan lagu kanak-kanak yang sering dinyanyikan oleh Siti bersama rakan-rakan sewaktu tinggal di berek polis di Kuala Lipis, Pahang.

Nostalgia puluhan tahun lalu diabadikan oleh beliau di dalam sebuah lagu dan berharap agar anakanda Siti Aafiyah mengenal lagu kanak-kanak zaman beliau dahulu.

Sementara itu, beliau berharap agar album Legasi tidak disamakan dengan album komersil beliau yang lain. Penerbitan sebuah album komersil pasti tidak sama dengan album kanak-kanak yang lebih santai  dan tentunya berbeza dalam banyak aspek serta pemilihan. Namun apabila mendengar album ini, Siti yakin usahanya tidak sia-sia kerana Legasi menampilkan keistimewaan yang tersendiri.

“Saya tetap mengutamakan kualiti muzik, bunyi dan gubahan yang baik dalam sesebuah lagu dan album Legasi mempunyai keseronokan yang tersendiri sewaktu di dalam studio.

“Apa yang penting, saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja dan usaha yang dibuat oleh Pown Hasril selaku penerbit bersama pasukan kerjanya,” jelasnya.

Album Legasi mengandungi 7 buah lagu dan mempunyai 10 buah track termasuk interlud. Di dalam album ini, Siti turut menghasilkan sebuah lagu buat anak yang bakal dilahirkan yang diberi judul Anakanda.

Sebuah lagi lagu ciptaan beliau sebelum ini iaitu Comel Pipi Merah turut dimuatkan di dalam album ini. Lain-lain lagu adalah Anakku Sayangku (lagu asal Anakku Sazali), Medley Klasik Siti 2, Bintang Kecil dan Burung Kakak Tua. – KopiPlanet.com

The post Sempena Ulang Tahun Ke-25 Dalam Industri Seni, Siti Nurhaliza Kini Tampil Dengan Album Legasi appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.