Awie Dedah Mula Memasak Selepas Keruntuhan Rumah Tangga Kali Kedua
Penyanyi rock popular tanah air, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie mendedahkan bahawa dirinya mula memasak selepas keruntuhan rumah tangganya kali kedua.
Awie berkata, dia mengambil inisiatif untuk memasak memandangkan dia tidak gemar orang gajinya memasak untuk anak-anak.
“Punca saya mula memasak adalah ketika keruntuhan rumah tangga saya yang kedua. Sewaktu nak menyediakan makanan untuk anak-anak, saya mula terfikir sebab saya tak suka sangat bagi maid (orang gaji) masak.
“Jadi saya pun tanya dia (maid) cara nak memasak dan makanan pertama yang saya masak adalah sambal. Saya pula memang seorang penggemar sambal, meskipun tak makan dengan nasi. Sejak itu saya mula belajar memasak sambal,” ujarnya.
Memandangkan dirinya merupakan penggemar sambal, Awie kini telah melancarkan produk sambalnya sendiri di bawah jenama R-WE berserta produk makanan lain seperti kambing dan ayam perap.
Menerusi jenama tersebut, dia mengeluarkan empat jenis sambal iaitu Sambal Merah, Sambal Paru, Sambal Ikan Sepat Masin dan Sambal Ikan Kerbung Masin.
Sementara itu, ketika ditanya apa yang menyebabkan dia mahu terlibat dalam perniagaan makanan, Awie menjelaskan dalam keadaan sekarang produk yang berkaitan makanan lebih menjadi tumpuan.
“Pada mulanya saya bercadang mahu hasilkan produk protein memandangkan sering pergi ke gymnasium, namun situasi sekarang rasa seperti kurang sesuai.
“Kemudian saya berjumpa dengan seorang rakan pada tahun November tahun lalu dan setelah berbincang kami sepakat untuk terbabit dengan produk makanan,” ujarnya.
Meskipun belum dilancarkan secara rasmi, setakat ini sudah 3,000 botol sambal yang telah terjual. – KopiPlanet.com
The post Awie Dedah Mula Memasak Selepas Keruntuhan Rumah Tangga Kali Kedua appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: