Permaisuri Hadiah Istimewa Harris Alif Buat Isteri Tercinta Intan Ladyana
Baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan Intan Ladyana pada 5 Februari lalu, penyanyi, pelakon dan pengacara Harris Alif, 22, pastinya kini sedang berbahagia dengan isteri tercinta.
Demi mengabadikan rasa cinta mendalamnya terhadap isteri, ternyata Harris tidak menunggu lama untuk tampil dengan lagu baharu berjudul Permaisuri sebagai hadian paling istimewa.
Tajuknya saja pun sudah cukup menggambarkan isi kandungan lagu ciptaan Archie Nasution ini.
Semestinya ia tidak lain sebuah curahan hati Harris terhadap kebahagiaan yang akhirnya dikecapi bersama wanita pilihannya. Justeru, lagu Permaisuri dihasilkan sebagai simbolik tepat kepada gejolak cinta dalam hatinya sekarang.
Berbekalkan melodi yang cukup indah, cetusan rasa dalam lagu Permaisuri sememangnya terserlah ikhlas dan jujur.
Alunan Harris terhadap bait-bait liriknya cukup dirasakan seolah-olah ditujukan tepat ke hati permaisurinya. Begitulah kuatnya lagu ini diungkapkan luhur dari hati yang terdalam.
Hal itu turut diakui Harris yang menyifatkan Permaisuri sememangnya membawa makna besar dalam dirinya secara peribadi.
Dalam fikirannya, dia berharap tinggi fasa baharu kebahagiaan dalam hidupnya menjadi perjalanan indah selama-lamanya. Lantas, Harris telah curahkan sepenuh jiwanya bagi menghidupkan lagi lagu ini.
“Sebagaimana tajuknya, lagu ini semestinya menceritakan mengenai seorang permaisuri… permaisuri yang bertakhta di hati saya.
“Lagu ini cukup bermakna buat saya apalagi kini sudah menemui sendiri permaisuri hati. Ya, saya akui lagu ini adalah terjemahan dedikasi cinta saya terhadap isteri,” ujarnya.
Menurut Harris, sejak dari awal lagi dia sudah beritahu komposer iaitu Archie bahawa lagu Permaisuri itu memang diciptakan khas buat permaisuri hatinya (Intan Ladyana).
“Perasaan itu hadir seiring dengan emosi yang mengalir dalam diri sekali gus sangat membantu penghayatan jadi lebih berkesan,” katanya.
Ujarnya lagi, menariknya lagu bercorak begitu pastinya bakal menjadi pilihan ramai sebagai lagu perkahwinan khasnya.
Malah, dia tidak menolak jika suatu hari nanti, Permaisuri menjadi lagu pilihan pasangan bercinta yang ingin melangkah ke alam perkahwinan.
“Secara keseluruhan, lagu ini sesuai untuk pasangan terutama buat si lelaki dedikasikan kepada pasangannya. Ia tidak mengenal status, baik pasangan itu baharu bercinta mahupun yang sudah berkahwin.
“Yang penting, setiap pasangan itu disulami rasa cinta paling dalam menerusi hubungan masing-masing,” katanya.
Menyentuh mengenai proses menyiapkan lagu ini, Harris tidak mengambil masa lama untuk menyudahkannya. Maklumlah, dia sendiri sudah melihat hala tuju yang jelas untuk Permaisuri serta menetapkan penceritaannya. Harris dan Archie cuma mengambil masa setengah bulan untuk proses itu. Menariknya, lagu ini dibuat sebagai kejutan kepada Intan Ladyana.
Tarikh 5 Februari lalu menjadi detik manis buat Harris dan Intan apabila akhirnya dipersatukan menjadi suami isteri. Meskipun majlis berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak mencacatkan langsung kegembiraan pasangan itu. Yang pasti, kini keduanya sudah bersedia menjalani fasa hidup baharu dan berjanji setia saling mencintai.
‘Permaisuri’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music. – KopiPlanet.com
The post Permaisuri Hadiah Istimewa Harris Alif Buat Isteri Tercinta Intan Ladyana appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: