Penjual Kuih Mengaku Tidak Bersalah Hina PDRM Di Facebook
KAJANG, 25 Feb (Bernama) — Seorang penjual kuih yang videonya tular di media sosial kerana menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat video secara langsung di akaun Facebook miliknya untuk memalukan pasukan keselamatan itu, tahun lepas.
Bagaimanapun, Ahmad Tuah Abdullah, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Lelaki itu didakwa secara sedar menggunakan aplikasi Facebook atas nama ‘Tuah Ahmad Tuah’ dan memulakan video secara langsung yang jelek sifatnya untuk memalukan nama PDRM dan nama ketua anggota PDRM, dengan niat menyakitkan hati orang lain dan pasukan keselamatan itu.
Ahmad Tuah yang didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai makan di sini, pada 2.44 petang, 31 Ogos tahun lepas, dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Ahmad Tuah yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana bekerja sebagai penjual kuih hanya memperoleh pendapatan rendah lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini.
“Saya tidak ada niat untuk menjatuhkan martabat PDRM dalam video itu. Saya mohon mahkamah kurangkan jaminan kerana saya tidak berkemampuan,” katanya dalam nada sebak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
— BERNAMA
The post Penjual Kuih Mengaku Tidak Bersalah Hina PDRM Di Facebook appeared first on Siakap Keli.
No comments: