Ads Top

Mengapa Lafaz Iktidal Disebut Sami’allahu Liman Hamidah

Rukuk dan iktidal merupakan rukun fi’li (iaitu rukun dalam bentuk perbuatan) dalam sembahyang sebagaimana yang disebutkan dalam hadis daripada Rasulullah SAW yang menyebut:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا

Maksud: “Jika engkau mendirikan sembahyang, maka bertakbirlah kemudian bacalah Al-Quran yang mudah bagimu (surah Al-Fatihah). Kemudian, rukuklah sehingga rukuk dengan tomakninah. Kemudian, bangkitlah sehingga berdiri dengan iktidal. Kemudian, sujudlah sehingga sujud dengan tomakninah. Kemudian bangkitlah sehingga duduk dengan tomakninah. Kemudian, lakukanlah yang demikian itu kesemuanya dalam sembahyang kamu.” (HR Abu Daud, no. 856)

Rukuk merupakan rukun fi’li yang panjang, makanala iktidal adalah rukun fi’li yang pendek. Jika keduanya ditinggalkan, maka solatnya boleh menjadi tidak sah.

Iktidal adalah keadaan di mana kita kembali kepada keadaan sebelum rukuk, iaitu berdiri dengan betul. Jika solat itu dilakukan dalam keadaan duduk, maka dia perlu kembali kepada keadaan asal duduknya.

Adapun, berkenaan dengan bacaan iktidal, ia berbeza dengan bacaan sebelum pergerakan di dalam solat yang lain dengan tidak bertakbir, sebaliknya membaca سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ yang bermaksud Allah Maha Mendengar pujian orang yang memujinya.

Mengapa ia tidak dibacakan dengan takbir sama seperti bacaan untuk pergerakan yang lain?

Ulama menyebut bahawa ia tahmid (pujian) dan zikir kepada Allah yang disebut dalam solat. Ia disebut sebagai puji-pujian kepada Allah dengan membuktikan hanya Allah yang Maha Kuasa atas setiap sesuatu termasuk pergerakan manusia.

Adapun, untuk sebab asalnya adalah kerana ia merupakan sunnah daripada Baginda SAW dalam solatnya.

Jadi, perbuatan solat kita perlulah mengikut berdasarkan perbuatan Baginda SAW.

Maksud: “Sesungguhnya Nabi SAW ketika berdiri untuk menunaikan solat, Baginda akan mengucapkan takbir, kemudian mengucapkan takbir ketika rukuk. Kemudian, Baginda mengucapkan Sami’allahu liman hamidah dan ketika mengangkat tulang punggungnya dari rukuk dan berada pada kedudukan tegak, Baginda akan mengucapkan Rabbana walakal hamd. Lalu Baginda mengucapkan takbir ketika turun hendak melaksanakan sujud, bertakbir ketika mengangkat kepala (dari sujud). Kemudian, takbir ketika akan sujud (kedua), lalu takbir ketika mengangkat kepala (dari sujud kedua). Baginda melakukan itu semua di dalam solat sehingga selesai dan Baginda bertakbir ketika berdiri dari dua rakaat setelah duduk (tasyahud awal).” (HR Bukhari, no. 786)

Ulama juga menjelaskan bahawa ucapan ini memberi makna yang khas sebagaimana daripada sebuah hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:

إذا قال الإمامُ: سمِعَ اللهُ لِمَن حمِدَه، فقولوا: ربَّنا لك الحمدُ؛ فإنَّه مَن وافَقَ قولُه قولَ الملائكةِ، غُفِرَ له ما تقدَّمَ مِن ذَنبِه

Maksud: “Jika imam mengucapkan sami’allahu liman hamidah, maka ucapkanlah: rabbana lakal hamd. Barangsiapa yang ucapan tersebut bersesuaian dengan ucapan malaikat, maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (HR An-Nasa’i, no 1171)

Imam Al-Khatabi RA menjelaskan mengenai hadis ini yang menyebut bahawa ucapan sami’allahu liman hamidah adalah untuk meminta keampunan dari Allah SWT.

Kesimpulan

Justeru, sebab asalnya adalah ia merupakan sunnah daripada Rasulullah SAW di dalam solat yang perlu dilakukan.

Dan ucapan ini mempunyai makna untuk meminta keampunan kepada Allah SWT di atas dosa yang dilakukan sama ada di dalam solat mahupun di luar solat.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Mengapa Lafaz Iktidal Disebut Sami'allahu Liman Hamidah first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.