Ads Top

Mahu Isi Rasa Kesunyian, Keith Foo Banyak Terlibat Dengan Aktiviti Sukarelawan

Setelah mengalami episod kegagalan rumah tangga, pelakon Keith Foo kini lebih banyak terlibat dalam aktiviti sukarelawan, selain giat dalam dunia lakonan.

Keith berkata, ia adalah salah satu cara untuk dia mengisi rasa kesunyian apabila tidak lagi bergelar seorang suami.

“Jika asyik duduk diam pasti saya akan selalu fikir perkara yang negatif, dan kalau selalu murung, anak pula macam mana. Jadi, saya kena ubah pemikiran serta cara hidup.

“Apabila terlibat dengan aktiviti sukarelawan ini ia dapat membantu saya menghadapi semua kekecewaan yang terjadi sebelum ini dan sekarang saya menjadi seorang yang lebih positif,” ujarnya.

Keith berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran produk kecantikan Crystal C White yang berlangsung baru-baru ini.

Sebelum ini, Keith pernah mendirikan rumah tangga dengan model Kim Raymond pada November 2015 dan bercerai empat tahun kemudian serta dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Skylar Raymond Foo.

Dalam pada itu, pelakon berkenaan memberitahu hubungan dia dan bekas isteri tetap baik sehingga sekarang.

Malah, dia tidak menafikan ada juga yang mahu mereka kembali bersama dan tertanya-tanya punca perpisahan mereka.

“Untuk kembali bersama, apa yang boleh saya cakap kami berdua sudah selesa dengan keadaan sekarang. Memang ramai yang bertanya kenapa berpisah, tetapi saya melihat perpisahan kami ini adalah untuk kebaikan.

“Kalau teruskan hubungan tu dan keadaan menjadi lebih teruk, kesian kat anak. Kami berpisah untuk jadi lebih positif dan anak juga menjadi faktor hubungan baik kami,” jelasnya.

Menurut Keith, dia juga bersikap lebih terbuka apabila bekas isterinya itu dilihat seperti sudah menemui pengganti.

“Saya tiada masalah kalau dia sudah bertemu pengganti dan apabila mendapat tahu saya cakap yang saya gembira menyokongnya.

“Kalau dia nak pergi dating pun saya galakkan dan beritahu saya ada di rumah dan boleh jaga anak. Sebab itu saya cakap hubungan kami ini masih baik,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia menjelaskan buat masa ini dia belum bersedia mencari pengganti dan mahu fokus kepada kerjaya lakonannya terlebih dahulu. – KopiPlanet.com

The post Mahu Isi Rasa Kesunyian, Keith Foo Banyak Terlibat Dengan Aktiviti Sukarelawan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.