Ads Top

Bagaimana Untuk Mengingati Allah Dalam Kehidupan Kita

Mengingati Allah; bunyinya mudah namun tidak banyak di antara kita yang mengingati Allah atau meletakkan Allah sebagai permulaan kepada aktiviti sehari-hari.

Paling minima yang boleh dilakukan adalah dengan mengingati Allah ketika di dalam solat. Apabila solat, kita meletakkan sepenuh penghayatan kepadanya dan itulah yang membantu kita untuk mengingati Allah serta boleh meningkatkan keimanan.

Amat rugi jika di dalam solat pun, manusia masih lagi bermain-main dan mengingati dunia, sedangkan solat merupakan salah satu tempat untuk menjadikan hati kita semakin dekat dengan Allah.

Bukan dalam solat sahaja, namun dalam perbuatan dan aktiviti seharian kita juga sebenarnya boleh membuatkan hati kita semakin dekat dengan Allah.

Apakah antara aktiviti tersebut?

#1 – Sebelum Tidur Dan Selepas Bangun Dari Tidur

Tidak salah untuk kita peruntukan lima minit setiap kali sebelum tidur dengan mengingati Allah dan membaca doa serta berzikir sejenak.

Banyak sebenarnya amalan sebelum tidur yang dianjurkan seperti membaca surah Al-Mulk serta muhasabah sejenak mengenai perkara yang telah terjadi sepanjang hari ini, namun amalan yang paling ringkas adalah dengan membaca doa tidur.

بِسْمِكَ اللّٰهُمَّ اَحْيَا وَاَمُوْتُ

Maksud: “Dengan menyebut namaMu Ya Allah, aku hidup dan aku mati.”

Manakala, selepas bangkit dari tidur, perkara utama yang perlu kita lakukan selepas menutup jam penggera adalah dengan membaca doa.

Ramai di antara kita yang terleka dan memilih untuk menatal telefon bimbit walhal perkara yang paling penting adalah dengan bersyukur kerana masih lagi diberi nafas oleh Allah untuk menjalani kehidupan.

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ اَحْيَانَا بَعْدَمَآ اَمَاتَنَا وَاِلَيْهِ النُّشُوْرُ

Maksud: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah kami mati (membangunkan dari tidur) dan hanya kepadaNya kami dikembalikan.”

#2 – Membaca Doa Sebelum Dan Selepas Makan

Berdoa bukan sahaja untuk mengingati Allah tetapi untuk meraih keberkatan dariNya. Keberkatan itu pula boleh datang dalam pelbagai bentuk dan salah satunya adalah terhadap rezeki yang telah dikurniakan Allah.

اَللّٰهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksud: “Ya Allah, berkatilah kami dalam rezeki yang telah Engkau berikan kepada kami dan peliharalah kami dari azab api neraka.”

Selepas makan pula, kita dianjurkan untuk bersyukur terhadap Allah di atas rezeki yang telah dikurniakannya dan itu akan menjadikan hati kita sentiasa reda dengan apa yang telah diganjari Allah.

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ اَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مُسْلِمِيْنَ

Maksud: “Segala puji bagi Allah yang telah memberi makan kami dan minuman kami serta menjadikan kami sebagai orang-orang Islam.”

#3 – Membaca Doa Setiap Kali Sebelum Keluar Rumah

Setiap hari, kita pasti akan keluar dari rumah untuk melakukan pelbagai urusan. Ada yang pergi kerja, ada yang keluar membeli barang rumah dan juga bersosial.

Namun, sebelum kita keluar dari rumah, adalah lebih baik untuk kita meminta perlindungan daripada Allah terlebih dahulu agar setiap langkah yang diambil sentiasa dilindungiNya.

Ditambah pula dengan zaman COVID-19 yang masih lagi melanda, pastinya kita menginginkan perlindungan yang lebih lagi dari Allah agar terhindar daripada wabak ini.

إذا خرجَ الرجلُ من بيتِه فقال : بِسمِ اللهِ ، يقولُ الملَكُ : هُدِيتَ ، فإذا قال : لا حولَ ولا قوَّةَ إلَّا باللهِ ، قال الملَكُ وُقِيتَ ، فإذا قال : توكلتُ على اللهِ ، يقولُ الملَكُ : كُفِيتَ ، يقولُ الشيطانُ عندَ ذلكَ : كيفَ لِي مَنْ كُفِيَ وهُدِيَ ووُقِيَ

Maksud: “Jika seseorang keluar dari rumahnya lalu membaca zikir – “Bismilahi tawakkaltu ‘Alaihi, walaa haula wala quwwata illa billah (dengan nama Allah, aku berserah diri kepadaNya dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolonganNya)” maka malaikat akan berkata kepadanya – “Sungguh kamu telah diberi petunjuk (oleh Allah) dicukupkan dalam segala keperluanmu dan dijaga dari semua keburukan, sehingga syaitan pun tidak boleh mendekatinya dan syaitan yang lain berkata kepada temannya; “Bagaimana mungkin kau boleh memberi kecelakaan seorang yang telah diberi petunjuk, dicukupkan dan dijaga oleh Allah.” (HR Abu Daud, no. 5095)

Kesimpulan

Senang bukan untuk mengingati Allah? Dalam setiap aktiviti yang dilakukan, pasti akan ada peluang yang Allah berikan untuk kita mengingati Allah.

Ia semua adalah terpulang kepada diri kita sendiri untuk mengambil peluang tersebut atau mensia-siakannya.

Wallahu a’alam

The post Bagaimana Untuk Mengingati Allah Dalam Kehidupan Kita first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.