Ads Top

Majlis Akad Nikah Secara Online Pertama Dalam Tempoh PKP Sempurna Dilangsungkan Hari Ini

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini telah berjaya melaksanakan Majlis Akad Nikah satu pasangan pengantin secara sidang video (online).

Ia menjadi detik istimewa buat Muhammad Don Haadi bin Don Putra dan pasangannya Nahdatul Aishah binti Mohd Shariff apabila majlis perkahwinan mereka tetap berjaya dilaksanakan meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Proses akad nikah yang hanya mengambil masa 15 minit tersebut telah disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan sebagai wali serta disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail.

Majlis ini diadakan di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa.

Majlis pernikahan dalam talian yang pertama kali dalam sejarah ini juga turut disiarkan menerusi Facebook Live Berita AlHijrah pada pagi tadi.

Setakat ini, negeri yang telah membuka permohonan Kebenaran Berkahwin Atas Talian (Online) adalah Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan.

Ia selari dengan langkah yang diambil oleh Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang telah mengeluarkan ketetapan baru cara pernikahan dalam talian pada 17 Mac lepas.

Menurut kenyataan yang dipaparkan di laman web Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (sppim.gov.my), pasangan yang berniat melangsungkan pernikahan mestilah mendapatkan kebenaran berkahwin melalui Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di negeri masing-masing terlebih dahulu.

Orang ramai boleh ke laman web Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (sppim.gov.my) untuk mendapat maklumat lanjut.

Sumber:
Alhijrahnews.com

Baca juga:
Bolehkah Akad Nikah Dilakukan Melalui Panggilan Video




No comments:

Powered by Blogger.