Ads Top

Status Hadis Membaca 10 Ayat Surah Al-Baqarah Akan Dijauhkan Dari Syaitan

Islam mengajarkan kita untuk sentiasa berusaha melindungi diri dan keluarga bukan sahaja dalam bentuk fizikal, namun juga kerohanian.

Jika rohani terjaga, maka ketenangan juga boleh hadir dengan izin Allah. Namun, bagaimana cara untuk menjaga diri sendiri melalui kerohanian?

Antara cara yang boleh dilakukan adalah dengan memperbanyakkan zikir dan bacaan doa bagi menghindari diri daripada godaan syaitan.

Kalau kita lihat, amalan melindungi diri bukan sahaja dibolehkan untuk diri sendiri, namun dibolehkan untuk melindungi kawasan tempat tinggal kita dengan membaca ayat-ayat ruqyah dan Al-Quran.

Ia disebut sebagai amalan memagar rumah dan sebaik-baik perkara yang boleh dilakukan adalah dengan membaca ayat-ayat Al-Quran.

Berkenaan dengan bacaan apa yang boleh diamalkan, ulama berpendapat bahawa boleh sahaja membaca mana-mana ayat Al-Quran. Kebiasaannya, ada yang melazimi ayat Qursi kerana ia bersifat melindungi dan ada juga yang mengamalkan 10 ayat dari surah Al-Baqarah.

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA,

Maksud: “Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat daripada surah Al-Baqarah pada satu malam, maka rumah tersebut tidak akan dimasuki syaitan pada malam tersebut sehingga pagi, iaitu empat ayat awal surah Al-Baqarah, ayat Al-Qursi, dua ayat selepasnya dan tiga ayat terakhir di dalam surah Al-Baqarah.”

Bagaimanapun, terdapat perbahasan ulama berkenaan status hadis ini kerana sanadnya terputus, iaitu Sya’bi meriwayatkan bahawa ia tidak mendengar hadis ini daripada Abdullah bin Mas’ud.

Justeru, menurut penjelasan daripada Mufti Wilayah, hadis ini termasuk dalam kategori daif (lemah).

Bagaimanapun, perbuatan melazimi ayat dari surah Al-Baqarah itu tidak menjadi kesalahan kerana tujuannya untuk melindungi diri dan rumah daripada gangguan syaitan.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Status Hadis Membaca 10 Ayat Surah Al-Baqarah Akan Dijauhkan Dari Syaitan first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.