Ads Top

Pemikiran Ibn Arabi Tentang Cinta

Siapa tidak kenal dengan seorang pemikir Islam yang sangat besar dalam sejarah pemikiran Islam, khususnya bidang tasawwuf, iaitu Imam Ibnu Arabiy.

Nama sebenar beliau adalah Abu Bakar Muhy al-Din Muhammad ibn ‘Aliy ibn Muhammad ibn Ahmad ibn ‘Abd Allah al-Hatimiy.

Beliau merupakan salah seorang daripada keturunan ‘Abd Allah ibn Hatim, iaitu saudara ‘Adiy ibn Hatim al-Ta’iy. Bapanya pula merupakan seorang ulama fiqh dan hadis dan beliau berasal dari keturunan keluarga yang masyhur di negeri sebelah Maghrib.

Beliau telah dilahirkan pada hari Isnin bertarikh 17 Ramadan 560 Hijrah (1165 M) di bandar Murcia, Tenggara Andalus, Sepanyol.

Ibnu Arabiy telah mula menghafaz Al-Quran sejak usianya kecil dan ketika berumur lapan tahun, beliau telah mula belajar dengan beberapa orang ulama besar dan menelaah kitab.

Antara yang pernah menjadi gurunya adalah Syaykh Abu Bakr ibn Khalaf, Syaykh Abu Al-Qasum al-Syarrat, Syeikh Abu al-Hasan ibn Nasr dan Syeikh Abu Muhammad ‘Abd al-Haqq al-Isybiliy.

Konsep Cinta Dalam Pandangannya

Ibnu Arabi merupakan seorang tokoh dan pemikir yang sangat dahagakan ilmu. Beliau tidak hanya belajar dengan ulama yang berada di sekitarnya, namun beliau meluaskan ilmunya dengan mengembara ke serata negeri Islam seperti Maroko dan Aljazair.

Pemikiran-pemikiran beliau telah menjadi rujukan pelbagai pihak dan karyanya sangat pelbagai seperti dalam bidang Tasawuf Islam, Tafsir Al-Quran dan pelbagai lagi.

Dalam sebuah karyanya yang bertajuk Al-Futuhat al-Makiyyah yang telah ditulis sejak tahun 599 Hijrah ada membicarakan mengenai ilmu-ilmu kerohanian Islam dan pengisiannya dikatakan mengatasi semua kitab yang pernah ditulis oleh beliau sebelum itu.

Dalam kitab ini, Ibn Arabi membahagikan cinta kepada tiga bentuk, iaitu al-hubbal illahi (cinta kudus), al-hubbal rohani (cinta spiritual) dan al-hubb al-thabi’i (cinta alami).

Apa yang dimaksudkan dengan ketiga-tiga cinta ini?

#1 – Cinta Kudus

Cinta kudus adalah cinta yang abadi yang diberikan dari Allah dan disalurkan kepadaNya.

Ia merupakan sumber kepada segala cinta dan kurniaan Allah sendiri kepada hambaNya.

#2 – Cinta Spiritual

Ini pula adalah bentuk cinta yang hadir hasil daripada orang yang dicintainya. Sebagai contoh, seseorang yang mencintai Allah kerana bersahabat dengan kalangan manusia yang juga mencintai Allah.

#3 – Cinta Alami

Cinta alami adalah cinta yang didasari berdasarkan kepuasan diri sendiri. Jika pada cinta spiritual, si pencinta berkorban demi orang yang dicintainya, maka cinta alami adalah seseorang sanggup melakukan apa sahaja berdasarkan kemahuan dirinya.

Walaupun cinta spiritual dan alami adalah berbentuk kepada keadaan cinta untuk manusia, namun ia adalah termasuk dalam perasaan yang dianugerahkan Allah kepada hambaNya.

Justeru, Al-Arabi menyimpulkan bahawa jika ia adalah cinta yang baik, maka akhirnya ia akan membawa si pencinta kepada mendekati Allah.

Kesimpulan

Bagi beliau, untuk menyampaikan Islam perlulah didasari dengan cinta. Sejauh mana kita mencintai Islam, sejauh itulah kita akan berusaha menyampaikannya dengan penuh hikmah (bijaksana).

Cinta itu, konsepnya amat luas meliputi cinta kepada Allah, kepada agama dan juga kepada saudaranya. Dan dengan cintalah yang akan menjadikan seseorang individu menjalani kehidupan ini di atas landasan yang telah ditetapkan.

Sebagaimana dalam kitabnya al-Futuhat al-Makiyyah yang menyebut:

الحب مزيل للعقل، وما يؤاخذ الله إلا العقلاء، لا المحبين، فإنهم في أسره، وتحت حكم سلطان الحب.

Maksud: “Cinta dapat menghilangkan akal sedangkan Allah hanya memberikan beban syariat kepada orang-orang yang sudah berakal, bukan yang mabuk cinta. Para pencinta Allah akan berada di dalam lindunganNya dan mereka akan dijaga dengan kuasa cinta Allah.”

Wallahu a’alam

Rujukan:
Kajian Ibnu Arabi
Jabatan Mufti Negeri Sembilan

The post Pemikiran Ibn Arabi Tentang Cinta first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.