Ads Top

Ejen Jualan Didakwa Pandu Lawan Arus 1.4 Kilometer Dalam Keadaan Mabuk, Dipercayai Untuk Elak SJR Dalam Keadaan Mabuk

pemandu mabuk

TAPAH, 10 Dis (Bernama) — Seorang ejen jualan yang videonya tular di media sosial kerana memandu secara melawan arus dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk, bulan lepas.

Tertuduh, 34, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Dia didakwa memandu kenderaan dalam keadaan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 191 miligram (mg)/100 mililiter (ml) darah melebihi tahap yang dibenarkan iaitu 50mg/100ml darah di Kilometer 355.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini pada 6 petang, 11 Nov lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara sehingga dua tahun, serta hilang kelayakan memegang lesen selama tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Amanina Zulkefli menawarkan jaminan RM30,000 berikutan video tertuduh memandu secara melawan arus telah tular di media sosial selain tindakan tersebut ketika ini kerap berlaku dan membimbangkan.

Bagaimanapun, peguam Amani William-Hunt Abdullah, yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga termasuk anak yang masih kecil.

Mohd Harith membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 21 Jan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki memandu kenderaan jenis Perodua Axia dari Klang, Selangor ke Bidor, Perak untuk menyambut Deepavali nekad melawan arus sejauh 1.4 kilometer dari susur keluar Sungkai selepas melihat sekatan jalan raya (SJR) polis kira-kira jam 6 petang.

Tindakan itu dipercayai menyebabkan dua lagi kenderaan masing-masing jenis Toyota Rush dan lori treler gagal mengelak dan berlaku kemalangan, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.

Sumber: BERNAMA

The post Ejen Jualan Didakwa Pandu Lawan Arus 1.4 Kilometer Dalam Keadaan Mabuk, Dipercayai Untuk Elak SJR Dalam Keadaan Mabuk appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.