Ads Top

Status Hadis Melihat Tiga Perkara Ini Adalah Ibadah

Pernahkah anda mendengar mengenai tiga perkara yang apabila hanya melihatnya, maka akan mendapat pahala?

Tiga perkara yang disebutkan adalah wajah ibu bapa, mushaf Al-Quran dan laut.

Perkara ini ada disebut dalam beberapa hadis yang dibukukan dalam kitab yang sering menjadi rujukan, antaranya:

النَظَرُ فِي ثَلَاثَة أَشْيَاءَ عِبَادَةُ ، النَظَرُ فِي َوجْهِ الَأَبوَيْنِ  وِفِي المُصْحَفِ ، وَفِي البَحْرِ

Maksud: “Melihat tiga perkara (ini) adalah ibadah; melihat kepada wajah kedua ibu bapa, melihat kepada mushaf (Al-Quran) dan melihat laut.” (Al-Gharaib al-Multaqiah Min Musnad Al-Firdaus, 2688)

Walau bagaimanapun, menurut perbahasan ulama, hadis ini adalah daif (lemah) kerana terdapat perawi yang tidak thiqah (dipercayai). Beliau adalah Zafir Abu Sulaiman Al-Quhastani.

Ibnu ‘Adiy berkata bahawa beliau adalah perawi yang lemah – “Secara umumnya, apa yang diriwayatkan oleh beliau tidak boleh dijadikan sandaran dan hadis yang diriwayatkan tidak bertulis. Zafir adalah perawi yang lemah.” (Al-Kamil fi ad-Dhu’afa)

Walau bagaimanapun, pahala tetap akan sampai kepada kita yang melihatnya jika ia dilihat dengan dirasai keagungan dan kekuasaan Allah SWT.

Bahkan, jika ia ditambah dengan bacaan doa bagi memuji keagungan Allah itu, maka perbuatan inilah yang akan diganjari pahala.

Sebagaimana dalil yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik, Baginda SAW bersabda:

من رأى شيئا فأعجبه فقال : ما شاء الله لا قوة إلا بالله لم يضره

Maksud: “Barangsiapa yang melihat sesuatu yang membuatnya takjub, kemudian dia mengucapkan مَا شَاءَ اللهُ لَا قُوَّةَ إلَّا باللهِ (Masya Allah, la Ilaha illa Quwaataillah billah; tiap sesuatu itu berlaku atas kehendak Allah. Tiada kekuatan selain Allah). Maka, sesuatu tersebut tidak akan membahayakannya.” (Riwayat Abu Hurairah, 10/102)

Kesimpulan

Tuntasnya, hadis yang menyebut mengenai tiga perkara jika dilihat akan diganjari pahala itu adalah daif (lemah).

Bagaimanapun, setiap perlakuan dan perbuatan kita, jika diiringi dengan puji-pujian kepada Allah, maka inilah yang akan diberi ganjaran olehNya.

Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Status Hadis Melihat Tiga Perkara Ini Adalah Ibadah first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.