Ads Top

Selain Ashabul Kahfi, Ini Kisah Dalam Surah Kahfi Yang Anda Perlu Tahu

Surah Al-Kahfi merupakan salah satu surah Makiyyah, iaitu yang diturunkan di Mekah dengan permulaan ayatnya memuji dan menyanjungi Allah melalui tahmid dan hamdallah.

Apabila menyebut mengenai surah ini juga, pasti yang terakam di minda kita sekarang adalah mengenai kisah Ashabul Kahfi atau juga kelebihan surah ini yang boleh membantu melindungi daripada fitnah Dajjal.

Tidak dinafikan perkara ini kerana sebenarnya kisah ini mengandungi seribu satu hikmah terutamanya untuk perlindungan kita sama ada dari fitnah dunia mahupun akhirat.

Namun, tahukah anda, selain daripada kisah Ashabul Kahfi ini, sebenarnya terakam 3 lagi surah di dalamnya yang boleh diambil pengajaran, iaitu:

#1 – Kisah Dua Pemuda Dan Kebun Kurma

 وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلًا رَّجُلَيْنِ جَعَلْنَا لِأَحَدِهِمَا جَنَّتَيْنِ مِنْ أَعْنَابٍ وَحَفَفْنَاهُمَا بِنَخْلٍ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمَا زَرْعًا

Mafhum: “Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya jenis tanaman yang lain.” (18:32)

Kisah ini menceritakan mengenai dua orang pemuda yang memiliki kebun anggur; seorang pemuda beriman dan taat kepada Allah, namun yang seorang lagi angkuh dan meyakini bahawa hasil kebunnya adalah datang dari usahanya.

Nikmat yang diterima membezakan sikap kedua-duanya. Adakah dengan datangnya nikmat yang besar akan mnejadikan seseorang itu semakin dekat dengan Allah atau sebaliknya.

Pemuda yang beriman telah memberikan nasihat dan teguran kepada pemuda yang ingkar, namun dia mengendahkannya sehinggalah Allah menurunkan balasan buatnya.

Inilah yang diceritakan dalam ayat seterusnya yang bermaksud:

“Dan segala tanaman serta harta bendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan tuhanku.” (18:42)

Kisah ini memberikan pengajaran kepada kita bahawa setiap yang datang itu adalah daripada Allah dan Dia berhak menarik semula pemberianNya sama ada digantikan dengan lebih baik atau sebaliknya.

Penangan fitnah harta yang menimpa umat manusia adalah yang paling besar sehingga boleh mengaburi mata kita. Oleh itu, bersyukurlah walau dengan sekecil-kecil nikmat yang diperoleh.

#2 – Kisah Nabi Musa Dan Khidir

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا 

Mafhum: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dengan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun.” (18:60)

Seterusnya, kisah yang disebutkan adalah mengenai Nabi Musa AS yang bertemu dengan seorang lelaki soleh, iaitu Khidir. Ada riwayat yang menyebut bahawa beliau adalah seorang nabi dan ada juga riwayat yang menyebut bahwwa beliau bukan nabi tetapi seorang lelaki soleh.

Kisah ini bermula apabila Nabi Musa meyakini bahawa tiada seorang pun yang lebih bijak daripadanya. Namun, Baginda mendapat wahyu bahawa ada orang yang lebih berpengetahuan darinya, iaitu Khidir.

Apabila Nabi Musa bertemu dengan Khidir, Baginda meminta kebenaran untuk mengikut permusafiran beliau. Tujuannya adalah untuk mengetahui perbuatan dan amalnya yang menyebabkan beliau dianggap sebagai manusia yang paling berilmu melebihi dirinya.

Antara kisah yang berlaku di sepanjang perjalanannya dengan Khidir ialah:

#a – Khidir yang sengaja membocorkan perahu kerana ingin menyelamatkan diri daripada perkara lagi besar.

#b – Beliau membunuh seorang kanak-kanak kerana dia tidak beriman kepada Allah sedangkan kedua ibu bapanya merupakan orang yang soleh.

#c – Khidir membina tembok untuk menyelamatkan harta anak yatim daripada diambil oleh orang lain.

Kisah-kisah yang berlaku di sepanjang perjalanan tersebut membuatkan Nabi Musa tercengang kerana Baginda akhirnya dapat memahami ilmu pengetahuan yang dimiliki Khidir.

Kisah ini menunjukkan kepada kita bahawa walau setinggi mana darjat dan ilmu yang dimiliki, perbuatan berbangga diri hendaklah dielakkan.

#3 – Kisah Zulkarnain, Pemimpin Yang Adil

 وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا

Mafhum: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya.” (18:83)

Kisah terakhir yang disebutkan dalam surah Al-Kahfi ialah seorang pemimpin yang sangat adil serta memiliki ilmu yang tinggi, iaitu Zulkarnain.

Beliau diceritakan telah mengembara ke timur dan barat untuk menyampaikan ilmu dan mengajak manusia mengikuti jalan yang lurus.

Peristiwa besar yang diceritakan melalui surah ini ialah apabila beliau membina tembok untuk menyekat kerosakan Yakjuj dan Makjuj.

Beliau adalah seorang pemimpin yang beriman kepada Allah dan sentiasa menggunakan ilmunya untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

Kisah ini menunjukkan bahawa tugas untuk menjadi pemimpin itu bukan sekadar berdasarkan faktor kepimpinan yang dipilih secara rawak, namun berdasarkan ilmu yang ada.

Dengan ilmu, barulah kepimpinan itu akan berjalan dengan baik kerana ilmulah yang akan membantu menjaga manusia mahupun tampuk pimpinannya.

Kesimpulan

Fitnah boleh datang dalam pelbagai bentuk; fitnah harta, fitnah ilmu dan juga kuasa. Disebabkan itu, kita perlu sentiasa menghiasi diri kita dengan keimanan dan perisai yang teguh kepada Allah.

Kisah-kisah yang pernah berlaku ini adalah untuk memberi teladan kepada kita semua bahawa Allah adalah sebaik-baik tempat perlindungan.

Wallahu a’alam

Sumber:
Ustaz Khalid Bassalamah – Kisah Dalam Surah Al-Kahfi

The post Selain Ashabul Kahfi, Ini Kisah Dalam Surah Kahfi Yang Anda Perlu Tahu first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.