Ads Top

Aina Abdul Tak Sangka Menang The Masked Singer Musim Pertama

Konsisten dengan persembahan pada setiap minggu telah menobatkan maskot Bunga Raya yang digayakan oleh Aina Abdul sebagai pemenang musim pertama The Masked Singer Malaysia.

Menurut Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 27, dia sama sekali tidak menyangka akan bergelar juara TMSM memandangkan banyak pesaing lain yang lebih hebat dalam pertandingan tersebut.

“Pada mulanya saya sertai program ini, saya memang sudah berniat untuk sampai ke peringkat akhir. Saya berusaha bersungguh-sungguh setiap minggu supaya Bunga Raya kekal di dalam program. Tetapi tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menjadi juara.

“Saya tidak sangka akan menang kerana kesemua peserta yang lain juga hebat. Apa pun, saya bersyukur sangat kerana rezeki berpihak kepada saya,” katanya.

Pentas akhir TMSM yang berlangsung Jumaat lalu turut menyaksikan maskot Rajah Brooke yang dipakai penyanyi berdarah kacukan India-Cina, Vanessa Ben Reynauld bergelar naib juara manakala ahli kumpulan K-Clique, Tuju yang menggayakan kostum Orang Utan di tempat ketiga.

Tempat keempat dan kelima pula menjadi milik Datin Alyah yang memakai kostum Wau dan juara Akademi Fantasia musim pertama, Vincent Chong (Enggang).

Tujuh peserta yang tersingkir sebelum ini ialah Datin Paduka Eina Azman (Rafflesia), Chiwan Chilok (Reno), Hairul Azreen (Ayam Jantan), Zain Haimd (Musang King), Yana Samsudin (ABC), Ebby Saiful (Rimau) dan Datuk Mirnawan Nawawi (Nasi Lemak).

TMSM musim pertama menampilkan sembilan juri tetap iaitu Datuk Aznil Nawawi, Ella, Angah, Nabila Huda, Remy Ishak, Ramona Zamzam, Zizan Razak, Raja Azura dan Michael Ang.

Program yang ditayangkan menerusi Astro Warna itu dihoskan oleh pengacara popular, Datuk Ac Mizal.

TMSM yang diadaptasi daripada rancangan popular Korea Selatan, King of Mask Singer menampilkan 12 selebriti daripada pelbagai cabang bidang mencabar diri menyanyi dengan memakai maskot bertujuan untuk mengelirukan juri tetap yang perlu meneka siapakah individu di sebalik topeng tersebut. – KopiPlanet.com

The post Aina Abdul Tak Sangka Menang The Masked Singer Musim Pertama appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.